ARTIKEL SEBELUM

Memaparkan catatan dengan label PRK Telok Intan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRK Telok Intan. Papar semua catatan

31/05/14

'Tajuddin boleh masuk tempat mengundi?'

 

MP DAP Ong Kian Ming mempersoalkan kemunculan seorang MP BN Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di kawasan sebuah pusat pengundian semasa pilihan raya kecil Teluk Intan berlangsung hari ini.

Ong dalam tulisan di Twitter mempersoalkan bagaimana MP tersebut boleh bergerak dengan bebas di kawasan pusat pengundian, yang secara lazimnya dikawal rapi dan hanya boleh dimasuki dengan kebenaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Tambahan pula, pemimpin Umno Perak itu bukanlah pengundi untuk pilihan raya kecil Teluk Intan, katanya.“Wah, YB ini boleh jalan-jalan di tempat mengundi tanpa memakai (pas SPR) dan pakai baju itu,” katanya.

Beliau merujuk kepada kemeja dengan corak lambang BN yang dipakai oleh Tajuddin, seperti ditunjukkan dalam gambar tersebut.

Ong berkata, semakannya menujukkan Tajuddin merupakan pengundi untuk kawasan Pasir Salak.

Gambar berkenan dikesan tersebar luas di laman sosial petang ini.

Tajuddin ketika dihubungi Malaysiakini enggan mengulas kejadian berkenaan dan menegaskan beliau sedang sibuk dengan pilihan raya kecil yang sedang berlangsung.

Terdahulu, beliau turut dijulang oleh sekumpulan Pemuda BN, yang turut mengibarkan bendera parti ketika calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud melawat pusat pengundian di Kampung Bahagia.

Kejadian kira-kira jam dua petang itu menyebabkan kumpulan Pemuda BN dan kumpulan dari kem DAP bertekak di tempat kejadian.

Bagaimanapun tiada sebarang insiden lanjut berlaku.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 58, daripada DAP pada 1 Mei lepas.

Rakyat Teluk Intan hari ini memilih sama ada Dyana atau calon BN Datuk Mah Siew Keong bagi mewakili mereka di Dewan Rakyat.

Dalam pilihan raya umum ke-13, Seah, 48, menewaskan Mah dan calon bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi.

Pengundi berdaftar di Teluk Intan terdiri daripada 42 peratus Cina, 38 peratus Melayu dan 19 peratus India. - mk

Penganalisis setuju DAP akan takluk Teluk Intan

 Pengundi berdaftar Teluk Intan menunaikan tanggungjawab mengundi wakil rakyat baru yang akan mewakili mereka di Parlimen di salah sebuah pusat mengundi di SMK Sultan Abdul Aziz, pagi ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 31 Mei, 2014.

Kempen untuk pilihan raya kecil Teluk Intan berakhir malam tadi, dan ketika pengundi mula mengundi pagi ini, para penganalisa politik menjangka DAP dan muka baharu Dyana Sofya Mohd Daud nampaknya akan menang.

Persaingan memenangi kerusi bandar ini sangat sengit dan penuh dengan dakwaan kempen kotor di kedua-dua pihak yang bertanding termasuk penghinaan kaum dan kenyataan seksis.

Tetapi bagaimana dan mengapa kemenangan parti itu adalah faktor yang lebih penting, dan boleh menentukan masa depan politik Malaysia,rofesor James Chin dari Universiti Monash berkata, sementara DAP akan "pasti" menang, apa yang penting sekrang adalah adakah tindakan meletak calon profesional muda berbangsa Melayu menyebabkan mereka memberi kesan besar di kalangan pengundi Melayu.

"Perkara yang paling penting ialah bentuk pengundian orang Melayu. Jika ia menunjukkan majoriti undi pergi kepada Dyana, ia bermakna DAP boleh menjenamakan semula dirinya sebagai parti yang inklusif.

"Pada masa ini , mereka mempunyai imej parti Cina, dan mereka perlu mendekati orang Melayu jika mahu mendapat sokongan politik yang lebih besar," kata Chin.

Beliau berkata, jika DAP berjaya menguasai undi Melayu di Teluk Intan, ini bermakna parti itu akhirnya berjaya memecahkan acuan untuk menjadi ancaman kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Tetapi Ibrahim Suffian, ketua pusat kajian Merdeka Centre, berkata undi Melayu masih menjadi cabaran bagi DAP.

“DAP perlu bekerja lebih keras untuk mendapat sokongan pengundi Melayu kerana sebagian besar mereka disokong calon PAS di peringkat DUN, tetapi memilih calon BN pada 2013," katanya.

Katanya, ia masih menjadi satu cabaran yang besar bagi Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong untuk memenangi pilihan raya kecil itu kerana walaupun Gerakan disukai di kalangan pengundi tetapi BN tidak.

Penganalisis politik, Khoo Kay Peng bersetuju dengannya dan berkata kempen Umno dua minggu lalu menyebabkan ahli akar umbi Gerakan tidak berpuas hati.

Sehubungan itu, katanya, apa yang bahaya bagi BN ialah, jika BN kalah ia menyebakan komponen BN akan pecah, meninggalkan Umno semata-mata untuk memikul 'dacing' pada pilihan raya umum akan datang.

"Di Teluk Intan, keberanian kempen Umno menjadikan Gerakan lebih teruk. Akar umbi Gerakan juga merungut.

"Semua parti komponen lain memenangi kerusi yang sangat sedikit dalam pilihan raya tahun lalu dan mereka akan menang semakin sedikit jika mereka tetap dengan BN dalam pilihan raya akan datang," kata Khoo.

Katanya, selepas kalah dalam pilihan raya kecil Kajang dan Bukit Gelugor, kehilangan satu lagi kerusi untuk BN akan menyebabkan mereka lebih teruk pada pilihan raya umum akan datang.

"Mungkin ada penurunan lagi, jika mereka membenarkan kekecewaan mereka untuk menjadi punca permusuhan. Saya tidak melihat perubahan nasib BN dan mereka sudah mempunyai banyak kerusi yang goyah.

"Pada pilihan raya umum akan datang, mereka mungkin kehilangan Terengganu, mereka mungkin kehilangan Perak. Lebih banyak kerusi di Johor, Sabah dan Sarawak, di mana BN hilang beberapa kerusi utama pada tahun lalu," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kesan yang paling besar akan berlaku kepada Gerakan, kerana seluruh kepimpinannya akan menjadi tidak stabil jika presiden mereka gagal memenangi kerusi itu.

"Teluk Intan sepatutnya menjadi tempat duduk yang terbaik untuk beliau menang. Beliau berkhidmat sebagai ahli Parlimen di sana selama dua penggal, beliau adalah orang tempatan. Jadi, jika dia tidak menang ini, maka bagaimana dengan calon yang lain daripada Gerakan,” katanya.

Mah memenangi kerusi Teluk Intan dua kali iaitu pada pilihan raya umum 1999 dan 2004, tetapi kalah kepada calon DAP, M Manogaran dan Seah Leong Peng pada 2008 dan 2013.

DAP meletak Dyana, yang masih baru dalam politik, dalam usaha mengubah imej Cina, selepas ia memenangi hanya 25% daripada 23, 391 undi Melayu pada pilihan raya tahun lalu.

Kerusi ini mempunyai 23, 301 pengundi Melayu (38.6%), 25,310 pengundi Cina (41.9 %) dan 11,468 pengundi India (19%).- TMI

28/05/14

Perkasa tidak hairan ibu Dyana Sofya umum keluar

Yammy Samat (kiri) bersama anaknya Dyana Sofya Mohd Daud di Teluk Intan. Yammy hari ini berkata beliau keluar daripada Perkasa secara rasmi. – Gambar fail. 

Meskipun tidak menerima sebarang surat rasmi berhubung penarikan keahlian Yammy Samat, Perkasa hari ini menegaskan tidak mempunyai masalah dengan pendirian yang diputuskan ibu kepada calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud.

Setiausaha ‎Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali mengakui Perkasa tidak terkilan dengan pengumuman Yammy bagaimanapun tetap melahirkan penghargaan kerana pernah menjadi sebahagian daripada kepimpinan tersebut.

"Apa pun niat Yammy mahu keluar dari Perkasa, tiada masalah kerana setiap hari lebih kurang 250 kad ahli kami proses jadi seorang dua yang nak keluar dari Perkasa apalah sangat."Kami akan rasa amat sedih sekiranya kehilangan pemimpin kami yang benar memperjuangkan bangsa, berkorban apa saja demi bangsa, tiada kepentingan peribadi dan sanggup dicemuh bangsa lain demi pertahankan hak bangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Hassan juga tidak menafikan adanya ahli yang keluar daripada Perkasa kerana majoritinya atas alasan peribadi.

‎"Pastinya Yammy tidak boleh bersama Perkasa jika dia berkempen untuk DAP kerana enggan menerima ideologi parti itu yabg mahu rampas hak Bumiputera dengan memperjuangkan Malaysian Malaysia," katanya.

Status keahlian Yammy bersama Perkasa bermula dengan penyebaran gambar beliau dan anaknya bersama Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

Bagaimanapun Yammy sebelum ini menafikan pembabitannya dalam pertubuhan itu.

Hari ini ibu Dyana Sofya itu sendiri mengesahkan beliau keluar daripada pertubuhan itu secara rasmi kerana kini Perkasa tidak selari dengan objektifnya.

Mengulas mengenai perkara itu, Syed Hassan menegaskan Perkasa tidak pernah berubah seperti Yammy.

‎"Sayangnya Yammy lambat mengaku bahawa dia pernah berada dalam barisan pimpinan penaja Perkasa sehingga menyusahkan anaknya untuk berkempen.

"Sedih kami lihat orang Melayu terpaksa menipu takut dikaitkan dengan Perkasa kerana hendakkan undi kaum Cina. Dah terdedah baru nak mengaku.

Belum jadi wakil rakyat dah berbohong kepada rakyat," katanya.- TMI

25/05/14

Apa tindakan SPR pada Zahid?

 

Pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga berkata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melanggar pelbagai peraturan pilihan raya melalui amarannya kepada sukarelawan RELA.

Katanya, beliau tertanya-tanya jika Suruhanjaya Pilihan Raya akan bertindak atas kenyataan Ahmad Zahid semasa kempen pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan itu.

"Bagaimana (Zahid) tahu mengenai undi? Undi adalah rahsia. Saya boleh beritahu anda, banyak kesalahan dilakukan hari ini (Sabtu), tapi adakah SPR akan bertindak?

"Sebab itu saya mahu anda keluar mengundi pada 31 Mei," kata Ambiga lagi dalam satu majlis di Sekolah San Min, Teluk Intan.

Ahmad Zahid dalam satu ucapan di sebuah sekolah semalam memberi amaran kepada anggota RELA bahawa beliau "tahu siapa yang mengundi dan tidak mengundi" semasa pilihan raya umum lalu.

"Jadi, kali ini, pasitkan BN menang di kerusi Parlimen ini," katanya.

Beliau juga berjanji untuk membekal pakaian seragam baru kepada anggota RELA tersebut sekiranya BN menang dalam pilihan raya kecil kali ini.

Tambahnya, Teluk Intan akan layak menerima peruntukan RM1 juta sekiranya memilih Mah Siew Keong.- mk

Gambar 'Wanita berbikini itu bukan Dyana'

 


TELUK INTAN - DAP semalam membuat laporan polis berhubung penyebaran gambar seorang wanita berbikini yang didakwa mirip calon parti itu bagi PRK Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud.

Adun Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How berkata, pihaknya menyelar tindakan berkenaan malah menganggap tindakan itu sebagai berniat jahat.

Menurutnya, pihaknya telah mengenal pasti wanita dalam gambar yang disebarkan itu bukan Dyana Sofya, sebaliknya individu itu seorang artis dari Filipina.

“Kita menolak sekeras-kerasnya perbuatan sebegini dan ia tidak bertanggungjawab. Tindakan seperti ini cuba menjatuhkan maruah seorang wanita,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, di sini, semalam.

Hadir sama pada sidang media selepas membuat laporan polis itu, Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Chuan How berkata, kempen seperti itu seharusnya tidak berlaku di negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

 
Adun Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How

Isu gambar berkenaan sebelum ini timbul selepas Dyana Sofya diumumkan sebagai calon DAP, malah penyebaran gambar itu juga telah dinafikan Setiausaha Politik Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

21/05/14

Calon Gerakan anggap dirinya ‘underdog’ - PRK Teluk Intan

 

Pada ketika Dyana Sofya Mohd Daud terus-menerus mencuri perhatian dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, lawannya Datuk Mah Siew Keong berkata sukar untuk memenangi pertembungan satu lawan satu pada 31 Mei ini walaupun beliau berpengalaman luas dalam politik.

Presiden Gerakan penggal pertama itu berkata, sudah tentu dirinya, partinya dan Barisan Nasional (BN) menerima “akibat buruk” jika beliau kalah dalam PRK itu.“Kita berdepan dengan pertempuran yang sukar. DAP sudah memegang kerusi itu selama dua penggal dan majoriti lebih besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), sudah pasti kami adalah ‘underdog’,” kata Mah kepada The Malaysian Insider merujuk kepada majoriti lebih 7,000 undi DAP dalam PRU13.

“Kita akan melihat kepada keputusan dan berdepan dengannya, saya perlu menjadi positif sekarang. Saya tidak mahu fikir tentang semua ini,” kata ahli politik berumur 53 tahun itu yang membesar di Teluk Intan.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu berbincang tentang rancangannya sekiranya kalah dalam PRK itu.

Mah berkata, beliau pada mulanya enggan bertanding dalam PRK itu kerana Gerakan sudah mempersiapkan calon lain bagi kerusi tersebut tetapi beliau terpaksa menyahut cabaran kerana tinjauan dilakukan partinya mendapati rakyat Teluk Intan masih mahukannya.

“Saya bukan sahaja orang tempatan dan bekas ahli Parlimen, tetapi presiden parti. Saya tidak boleh lari atau dilihat lari daripada berdepan dengan cabaran.

“Parti hanya mencalonkan seorang jadi saya perlu menghadapinya,” katanya.

Walaupun tidak pasti boleh menang, bekas timbalan menteri tu berharap tahun ini akan memberikan “nasib baik” untuk membantunya merampas kerusi tersebut.

Nama keluarganya Mah bermaksud kuda dalam bahasa Cina dan tahun ini merupakan Tahun Kuda.

“Saya tidak percaya kepada kepercayaan karut tetapi saya berharap tahun ini baik untuk saya,” katanya.

Mah menang di kerusi itu dua kali pada pilihan raya umum 1999 dan 2004 tetapi kalah kepada calon DAP M Manogaran (majoriti 1,470 undi) pada 2008 dan Seah Leong Peng (majoriti 7,313 undi) tahun lalu.

Seah mati akibat penyakit kanser awal bulan ini menyebabkan PRK keenam negara terpaksa diadakan sejak pilihan raya umum 5 Mei tahun lalu.

Mah akan berdepan dengan Dyana Sofya, orang baru dalam politik, pada PRK itu. Ironinya, majikan kepada calon berumur 27 tahun itu, Lim Kit Siang menganggap peguam itu sebagai calon underdog juga dan menghantar mesej kecemasan (SOS) kepada pengguna Internet agar membantunya.

Lim berkata, peluang DAP dalam PRK ini hanya 40% dan meminta rakyat Malaysia agar membantu Dyana Sofya untuk mempertahankan kerusi itu.

“Jika pertempuran ini berlaku di media sosial atau internet, Dyana sudah menang. Bagaimanapun, saya bimbang kerana ia tidak akan ditentukan oleh pengguna internet Malaysia tetapi 60,000 pengundi Teluk Intan.

“Saya mahu menghantar mesej SOS kepada semua pengguna internet Malaysia agar membantu dengan apa cara sekalipun dalam PRK Teluk Intan. Ini kerana Dyana berpeluang kalah dalam PRK ini walaupun sudah menang di media sosial atau tinjauan internet,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berharap pengundi akan melakukan perubahan politik dengan memecahkan tembok politik perkauman.

Teluk Intan mempunyai 60,349 pengundi dengan 59,927 pengundi biasa, 410 pengundi awal dan 12 pengundi tidak hadir.

Kawasan itu mempunyai 23,301 pengundi Melayu (38.6%), 25,310 pengundi Cina (41.9%) dan 11,468 pengundi India (19%).

Penamaan calon bagi pilihan raya ini diadakan pada 19 Mei lalu dan pengundian awal ditetapkan pada 27 Mei ini.

DAP menang pertama kali kerusi itu, yang dikenali sebagai Teluk Anson dalam pilihan raya umum 1969 apabila Chan Fu King mengalahkan Menteri Kesihatan dari MCA, Dr Ng Kam Poh.

Bagaimanapun, sejak persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen pada 1974, 1984 dan 1993, komposisi dan watak pengundi di kawasan Parlimen Teluk Anson berubah berbanding pada 1969.

Ini membolehkan calon Gerakan memenangi kerusi itu dari pilihan raya umum 1974, sehingga pada 1995 di mana calon DAP M Kula Segaran berjaya memecahkan kemenangan itu. –TMI

20/05/14

Ibu Dyana Sofya jawab kenyataan Dr. Mahathir

TELUK INTAN: Ibu kepada Dyana Sofya Mohd Daud menjawab tuduhan Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya beliau telah gagal mendidik anaknya sehingga mengkhianati perjuangan UMNO dan menyertai DAP.

Dalam menjawab kenyataan Dr. Mahathir itu, Yammy Samad menunjukkan contoh bagaimana bekas Perdana Menteri itu mendidik anak-anaknya, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir.

"Saya cuba didik anak saya jadi Mukhriz, tetapi apabila dia sudah besar dia jadi Marina.

"Saya beri kebebasan kepada anak saya untuk memilih mana baik dan mana buruk. Dia sudah dewasa dan sudah boleh memikirkannya,” kata Yammy kepada wartawan di sini, hari ini.

Beliau ditemui semasa mengiringi anaknya berkempen bertemu dengan pengundi.

Dr. Mahathir pada Isnin melahirkan rasa kesal apabila calon yang diletakkan oleh DAP untuk bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Teluk Intan itu merupakan anak kepada keluarga yang menyokong perjuangan UMNO sejak sekian lama.

"Kalau datang daripada keluarga pembangkang tak jadi apa pasal sejak kecil diajar benci UMNO.

"Kalau anak orang Umno depa tak cakap kat anak depa pasal apa Umno ni ada sejarah Umno semua, jadi bila dia besar dia bebaslah nak buat apa sahaja," katanya.

Jelas Yammy, beliau memberikan kebebasan kepada anaknya untuk menentukan masa depan sendiri termasuk memilih pasangan hidupnya.

"Kalau dia hendak pilih suami pun saya bebaskan, inikan pula memilih parti," katanya.

"Dia hendak kahwin, terpulang kepada dia. Dia hendak kahwin dengan Melayu, Cina atau India jika sesuai. Kalau saya paksa (tetapi) berakhir dengan kegagalan, buat apa?” katanya.

Yammy bagaimanapun menegaskan Dyana lahir sebagai orang Islam dan adalah menjadi harapannya akan kekal sebagai orang Islam.

Beliau juga menjelaskan langkah anaknya menyertai DAP tidak membimbangkan hatinya kerana parti itu bukan hanya terdiri daripada orang Cina saja dan tindakan itu juga tidak menjejaskan akidah anaknya.

19/05/14

BN tidak akan mengambil tindakan terhadap ibu kepada calon DAP

 

Barisan Nasional, BN, tidak bercadang untuk mengambil sebarang tindakan kepada ahlinya, Yammy Samat iaitu ibu kepada calon DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud kerana membantu anaknya itu dalam kempen pilihan raya tersebut.

Yammy Samat adalah ahli UMNO dan pernah menjadi Setiausaha UMNO Bahagian Ipoh dari 1976 hingga 1980.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu bahawa parti itu tidak berminat untuk mengambil tindakan terhadap Yammy kerana itu adalah haknya sebagai seorang ibu

“Itu adalah hak individu dan ianya tidak menjejaskan ibu bapa mana-mana calon yang bertanding disini,” katanya kepada pemberita sejurus selepas pengumuman calon PRK Teluk Intan disini pagi tadi.



Sebelum ini, Yammy menegaskan bahawa beliau akan membantu anaknya itu dalam berkempen dan sokongan serta bantuannya itu tidak lebih hanyalah semata-mata kerana beliau adalah ibu kepada Dyana Sofya.

Beliau turut menyerahkan kepada UMNO jika hendak mengambil tindakan terhadapnya.

Beliau dipetik sebagai berkata “"Saya menyokong anak, bukan parti... saya sama sekali tidak akan keluar daripada parti Umno. Saya sebagai ibu, bagaimanakah anda jika berada dalam keadaan saya...saya akan temankan dia sepanjang kempen ini,”.

Terdapat desakan daripada NGO veteran UMNO yang mahukan parti itu melucutkan keanggotaan ibu kepada Dyana Sofya kerana menyokong dan membantu anaknya yang bertanding sebagai calon DAP dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan.

Setiausaha Agung NGO tersebut, Datuk Mustapha Yaakob berkata perbuatan itu jelas menyalahi perlembagaan parti dan juga menghina parti dan tiada gunaya parti itu menyimpan ahli yang secara teranga-terangan menjejaskan kredibilit dan menghina parti.

18/05/14

Ibu Dyana, seorang anggota Umno ... 'Shahrizat perlu belajar dari ibu saya'

 

Calon DAP untuk pilihan raya kecil parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud menggesa ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil belajar daripada ibunya, Yammy Samat yang memberi sokongan kepadanya walau berbeza parti.

"Saya minta beliau belajar daripada ibu saya yang juga seorang anggota Umno tetapi menyedari bahawa pencalonan saya oleh DAP memberi peluang kepada wanita muda dalam politik, terutama wanita Melayu muda, yang sering terhalang dengan struktur kebapaan dalam Umno.

"Apa yang saya capai sekarang disebabkan oleh keluarga, ibu saya, dan kerja keras... dan keputusan peribadi yang saya buat sepanjang hidup saya," kata Dyana dalam satu kenyataan hari ini.

Ibu Dyana, seorang anggota Umno, ketika hadir sebagai tanda sokongan kepada anaknya itu semasa pengumuman calon pilihan raya kecil tersebut semalam berkata kini tiba masanya untuk golongan muda memikul lebih bertanggungjawab.

Yammy merupakan wanita pertama yang menjadi setiausaha wanita Umno bahagian dan kini kekal menjadi anggota Umno di Ipoh.

Shahrizat semalam berkata beliau bersimpati dengan Dyana yang didakwanya diperalatkan oleh DAP dan menjadi "boneka" DAP.

Ketua Wanita Umno itu juga berkata, Dyana tidak akan berada di kedudukan sekarang jika tidak kerana Umno.

Dalam jawapan balasnya, Dyana berkata beliau akan menjadi MP paling muda di Parlimen sekiranya dipilih oleh pengundi dalam pilihan raya kecil ini.

Perkara itu pastinya tidak akan dapat dicapai sekiranya beliau menyertai Umno, katanya.

Katanya, kenyataan Shahrizat itu menunjukkan Wanita Umno gagal melonjakkan wanita ke kedudukan utama dalam negara.-  Mk

Shahrizat pun main kotor - Guan Eng

 

Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng menyelar ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang didakwanya mematahkan semangat golongan wanita menyertai politik melalui kritikan ke atas calonnya, Dyana Sofya Mohd Daud

Lim berkata, kenyataan Shahrizat yang menyifatkan Dyana Sofya sebagai "kosmetik" dan "alat serta boneka DAP" itu merupakan taktik kotor untuk mematahkan semangat golongan wanita dari menyertai politik.

"Saya ingat hanya orang lelaki main kotor, orang perempuan pun main kotor juga," katanya dalam satu majlis makan malam di Pulau Pinang pada malam tadi.

"(Shahrizat Abdul Jalil) kata calon Teluk Intan kita Dyana Sofya Mohd Daud hanyalah kosmetik dan boneka.

"Siapa yang kata begini? Itu ketua Wanita Umno sendiri, dan siapa dia? Dia tidak bercakap tentang lembu, tapi tentang kosmetik sekarang," katanya.

Beliau merujuk kepada skandal National Feedlot Corporation melibatkan anggota keluarga bekas menteri itu.

Laporan akhbar hari ini menyebut, Shahrizat berkata tindakan DAP mengumumkan Sofya sebagai calon pilihan raya kecil tersebut sebagai lakonan.

Katanya, beliau kasihan denghan Sofya yang menurutnya membiarkan diri diperalatkan.

"Pelantikan itu dianggap sebagai lakonan. Seperti biasa, pemimpin DAP penuh dengan lakonan. Saya kasihan dan simpati dengan calon itu kerana dia telah dipermainkan.

"Saya juga kasihan kerana dia sanggup membiarkan dirinya menjadi alat dan bonek kepada DAP.

"Keterbukaan DAP meletakkan Dyana Sofya sebagai calon mereka bagi PRK Parlimen Teluk Intan hujung bulan ini dilihat hanya kosmetik dalam menggambarkan parti itu tidak bersifat cauvinis," katanya seperti dipetik dalam laporan Sinar Harian.

Kenyataan itu timbul selepas Lim mengumumkan peguam muda itu sebagai calon DAP untuk pilihan raya kecil itu.

Dyana Sofya, 27 bakal berdepan dengan presiden GERAKAN Mah Siew Kong, 53, seorang bekas timbalan menteri.- Mk

17/05/14

Raja Bomoh muncul untuk 'restui' calon BN

 

Raja Bomoh Ibrahim Mat Zin hari ini muncul di majlis pengumuman calon BN bagi pilihan raya kecil Parlimen Teluk, dan mendakwa dia berada di sana untuk "merestui" calon BN Datuk Mah Siew Keong.

Ibrahim, yang menjadi terkenal selepas melakukan upacara di KLIA kononnya untuk membantu mencari pesawat MH370 yang hilang pada bulan Mac.

Anak kelahiran Perak, beliau juga telah melakukan upacara berhampiran Kampar, Perak di mana bekas pemimpin DAP Karpal Singh terbunuh dalam nahas jalan raya pada 17 April.

"Jika perlu, saya akan membantu apa yang saya boleh untuk kemenangan calon BN," katanya kepada Malaysiakini, sambil mengakui tidak mendapat jemputan ke majlis tersebut.

Beliau memakai sut serta bertali leher, bersama tanda namanya dan pin 1Malaysia.

Bagaimanapun, pemangku ketua Gerakan bahagian Teluk Intan, Choo Weng Kee berkata BN tidak menjemput Ibrahim datang ke majlils tersebut.

"Kami tak nampak dia berada di sana, dan kami tidak tahu mengenai kehadirannya hari ini," katanya ringkas.

Ibrahim bagaimanapun tidak menjalankan sebarang upacara dengan Mah dan hanya memantau dari jauh.- mk

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud