ARTIKEL SEBELUM

21/05/14

Calon Gerakan anggap dirinya ‘underdog’ - PRK Teluk Intan

 

Pada ketika Dyana Sofya Mohd Daud terus-menerus mencuri perhatian dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, lawannya Datuk Mah Siew Keong berkata sukar untuk memenangi pertembungan satu lawan satu pada 31 Mei ini walaupun beliau berpengalaman luas dalam politik.

Presiden Gerakan penggal pertama itu berkata, sudah tentu dirinya, partinya dan Barisan Nasional (BN) menerima “akibat buruk” jika beliau kalah dalam PRK itu.“Kita berdepan dengan pertempuran yang sukar. DAP sudah memegang kerusi itu selama dua penggal dan majoriti lebih besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), sudah pasti kami adalah ‘underdog’,” kata Mah kepada The Malaysian Insider merujuk kepada majoriti lebih 7,000 undi DAP dalam PRU13.

“Kita akan melihat kepada keputusan dan berdepan dengannya, saya perlu menjadi positif sekarang. Saya tidak mahu fikir tentang semua ini,” kata ahli politik berumur 53 tahun itu yang membesar di Teluk Intan.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu berbincang tentang rancangannya sekiranya kalah dalam PRK itu.

Mah berkata, beliau pada mulanya enggan bertanding dalam PRK itu kerana Gerakan sudah mempersiapkan calon lain bagi kerusi tersebut tetapi beliau terpaksa menyahut cabaran kerana tinjauan dilakukan partinya mendapati rakyat Teluk Intan masih mahukannya.

“Saya bukan sahaja orang tempatan dan bekas ahli Parlimen, tetapi presiden parti. Saya tidak boleh lari atau dilihat lari daripada berdepan dengan cabaran.

“Parti hanya mencalonkan seorang jadi saya perlu menghadapinya,” katanya.

Walaupun tidak pasti boleh menang, bekas timbalan menteri tu berharap tahun ini akan memberikan “nasib baik” untuk membantunya merampas kerusi tersebut.

Nama keluarganya Mah bermaksud kuda dalam bahasa Cina dan tahun ini merupakan Tahun Kuda.

“Saya tidak percaya kepada kepercayaan karut tetapi saya berharap tahun ini baik untuk saya,” katanya.

Mah menang di kerusi itu dua kali pada pilihan raya umum 1999 dan 2004 tetapi kalah kepada calon DAP M Manogaran (majoriti 1,470 undi) pada 2008 dan Seah Leong Peng (majoriti 7,313 undi) tahun lalu.

Seah mati akibat penyakit kanser awal bulan ini menyebabkan PRK keenam negara terpaksa diadakan sejak pilihan raya umum 5 Mei tahun lalu.

Mah akan berdepan dengan Dyana Sofya, orang baru dalam politik, pada PRK itu. Ironinya, majikan kepada calon berumur 27 tahun itu, Lim Kit Siang menganggap peguam itu sebagai calon underdog juga dan menghantar mesej kecemasan (SOS) kepada pengguna Internet agar membantunya.

Lim berkata, peluang DAP dalam PRK ini hanya 40% dan meminta rakyat Malaysia agar membantu Dyana Sofya untuk mempertahankan kerusi itu.

“Jika pertempuran ini berlaku di media sosial atau internet, Dyana sudah menang. Bagaimanapun, saya bimbang kerana ia tidak akan ditentukan oleh pengguna internet Malaysia tetapi 60,000 pengundi Teluk Intan.

“Saya mahu menghantar mesej SOS kepada semua pengguna internet Malaysia agar membantu dengan apa cara sekalipun dalam PRK Teluk Intan. Ini kerana Dyana berpeluang kalah dalam PRK ini walaupun sudah menang di media sosial atau tinjauan internet,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berharap pengundi akan melakukan perubahan politik dengan memecahkan tembok politik perkauman.

Teluk Intan mempunyai 60,349 pengundi dengan 59,927 pengundi biasa, 410 pengundi awal dan 12 pengundi tidak hadir.

Kawasan itu mempunyai 23,301 pengundi Melayu (38.6%), 25,310 pengundi Cina (41.9%) dan 11,468 pengundi India (19%).

Penamaan calon bagi pilihan raya ini diadakan pada 19 Mei lalu dan pengundian awal ditetapkan pada 27 Mei ini.

DAP menang pertama kali kerusi itu, yang dikenali sebagai Teluk Anson dalam pilihan raya umum 1969 apabila Chan Fu King mengalahkan Menteri Kesihatan dari MCA, Dr Ng Kam Poh.

Bagaimanapun, sejak persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen pada 1974, 1984 dan 1993, komposisi dan watak pengundi di kawasan Parlimen Teluk Anson berubah berbanding pada 1969.

Ini membolehkan calon Gerakan memenangi kerusi itu dari pilihan raya umum 1974, sehingga pada 1995 di mana calon DAP M Kula Segaran berjaya memecahkan kemenangan itu. –TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud