Pendakwaraya Perancis mengesahkan serpihan sayap yang ditemui di Pulau Reunion adalah milik pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370.
Menurut laporan Reuters, pendakwaraya Perancis berkata seorang juruteknik daripada Airbus Defense and Space (ADS-SAU) di Sepanyol yang membuat alatan untuk Boeing, mengesahkan satu daripada 3 nombor yang ditemui di serpihan sayap itu adalah nombor siri bagi MH370 Boeing 777.
"Jadi, ia boleh memberikan pengesahan serpihan yang ditemui di Pulau Reunion pada 29 Julai 2015 sepadan dengan milik MH370," kata pendakwaraya itu dalam satu kenyataan.
Serpihan sayap berkenaan ditemui di pantai pulau jajahan Perancis itu pada 29 Julai lepas.
Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang dari radar pada 8 Mac 2014, bersama 239 penumpang dan anak kapal.
Pada 6 Ogos lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan serpihan sayap yang ditemui itu adalah milik MH370. – Bernama