ARTIKEL SEBELUM

3/09/15

Ahli PAS sertai Amanah diminta sabar, rujuk ulama isu baiah

Ahli Parti Amanah Negara (Amanah) terutama bekas ahli PAS yang menyertai parti baharu itu diminta supaya bersabar menghadapi isu baiah yang boleh menyebabkan perkahwinan mereka jatuh talak tiga, kata Mohamad Sabu.

Pengerusi Amanah itu sebaliknya menasihati ahli supaya berpegang kepada pandangan mana-mana ulama atau mazhab atau perbezaan pandangan selagi ada kelonggaran.

"Janganlah kita berpegang kepada satu-satu pandangan saja. Rujuklah kepada pandangan ulama muktabar di Malaysia dan juga dari luar negara.



"Bagi saya, pandangan Sheikh Dr Yusof Al-Qaradhawi, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Abdul Ghani Samsuddin dan juga pandangan ,ufti Perlis dan Pulau Pinang harus diambil kira dalam hal baiah ini termasuk isu menceraikan isteri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohamad, juga dikenali Mat Sabu menyeru kepada mereka yang terlibat agar meletakkan kesabaran paling tinggi dan bertawakal kepada Allah dan berpegang kepada pandangan paling ringan antara pandangan ulama yang boleh diterima pakai.

"Sesungguhnya, ini adalah sebahagian ujian kecil yang sedang kita lalui bersama, dan banyak lagi ujian besar akan kita hadapi.

"Paling penting adalah, untuk kita melepasi ujian ini dan pada masa sama mencapai keredaan Allah sebagai matlamat tertinggi kita," katanya.

PAS Kelantan semalam mengesahkan taklik lafaz cerai talak tiga yang dikenakan parti itu ke atas wakil rakyatnya di negeri itu bagi mengelak mereka melompat parti adalah sah di sisi perundangan Islam.

Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli mempertahankan perkahwinannya tidak terbubar kerana membayar kifarat kepada baiah berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata PAS memperkenalkan baiah atau sumpah kepada wakil rakyatnya di seluruh negara yang bertanding atas tiket parti itu sejak 2004 yang mesti mengosongkan kerusi mereka jika meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan sukarela.

Katanya, bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menambah syarat wakil rakyat PAS di Kelantan perlu bertaklik dengan melafazkan cerai talak tiga terhadap isteri masing-masing.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Ahli Parlimen Kota Raja Dr Mariah Mahmud mengisytiharkan diri mereka akan membayar kifarah dengan menjamu nasi beriani kambing kepada 100 fakir miskin di Shah Alam, malam esok.

-

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud