Menteri Umno terus mengambil kesempatan menghentam bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad kerana menghadiri perhimpunan BERSIH 4 hujung minggu lalu.
Perkara sama diulangi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said yang dukacita kerana Tun Mahathir “tidak menunjukkan contoh baik” kepada anak muda yang baru berjinak dalam politik Umno.
Bagaimanapun Azalina hari ini memuji Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naibnya Datuk Seri Shafie Apdal yang tidak terlibat dalam perhimpunan itu.
"Saya dukacita. Saya banyak kali sebut puteri dan pemuda yang baharu berjinak dalam politik akan melihat ini sebagai budaya pemimpin kita. Bila sudah tidak jadi pemimpin langgar undang-undang.
"Marah nyamuk bakar kelambu. Bagi saya ini mendukacitakan.
"Saya puji Muhyiddin dan Shafie sebab tidak turun ke demonstrasi itu kerana itu bukan cara kita," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Expo Filem Malaysia di KLCC.
Mahathir pada Sabtu dan Ahad lalu hadir dalam perhimpunan BERSIH di ibu negara untuk mendesak pengunduran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.