Kuala Lumpur: Johor Darul Ta'zim (Johor DT) muncul kelab pertama negara melangkah ke separuh akhir Piala AFC apabila menyingkirkan wakil Hong Kong, South China malam tadi.
Harimau Selatan kendalian Mario Gomez mara dengan agregat 4-2 selepas menewaskan lawan 3-1 di suku akhir kedua.
Dua gol Safee Sali dan Mahali Jasuli sudah cukup untuk juara Liga Super itu menempah tiket ke separuh akhir.
Pada perlawanan di Stadium Mong Kok itu, Johor DT turun dengan misi memerlukan gol selepas terikat 1-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos dan hasrat itu direalisasikan dengan corak menyerang sebaik perlawanan dimulakan.
Malah Harimau Selatan hampir membuka jaringan menerusi tandukan pemain import dari Argentina Luciano Figueroa pada minit ke-10 namun diselamatkan penjaga gol tuan rumah.
Asakan berterusan akhirnya membuahkan hasil apabila Mahali melakukan rembatan untuk meledak jaringan pendahuluan pada minit ke-25 selepas menerima hantaran Leandro Velazquez.
Namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Mahama Awal yang menewaskan Izham Tarmizi Roslan empat minit kemudian.Safee kembali membuktikan ketajaman sentuhannya apabila meledak dua gol pada minit ke-29 dan masa kecederaan babak pertama.
Johor DT bagaimanapun terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-35 apabila Figueroa dilayangkan kad merah kerana didakwa menyiku pemain lawan.
Situasi berkenaan menyebabkan Harimau Selatan terpaksa bertahan dan akhirnya menghadiahkan sepakan penalti kepada lawan pada minit ke-87 namun gagal disempurnakan Malisic Bojan.