ARTIKEL SEBELUM

4/09/15

Najib dikritik di IACC memalukan

SHAH ALAM – Kritikan yang ditujukan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa (IACC) sejak kelmarin di Putrajaya memalukan.

Bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, kini Malaysia menjadi buah mulut negara luar dan suasana itu menyakitkan namun kita tidak boleh menyingkirkan semua komen tersebut.

“Sekarang di persidangan antarabangsa (IACC) pemimpin kita dipersoalkan berhubung isu semasa yang kita sendiri sebagai rakyat masih menuntut jawapan.

“Keadaan ini memalukan apabila orang asing mula menayang kesilapan kita. Sudah tentu ia menyakitkan seperti mencurah garam dan cuka pada luka. Namun kita tidak boleh hapuskan semua komen itu kerana ia memang sahih,” katanya melalui status yang dimuat naik di laman Facebook, hari ini.

Najib terus menjadi sasaran sebahagian pemimpin dan delegasi luar negara yang hadir ke IACC di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melanda pemimpin nombor satu negara itu.



Sementara itu, Rafidah yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu turut menyarankan agar isu yang terus dibangkitkan itu diselesaikan segera untuk menebus kembali nama baik negara ini.

“Dunia memerhatikan kita dan menunggu bagaimana isu yang besar ini ditangani. Mereka akan ketawa melihat dua atau tiga pegawai ditukarkan ke sana dan sini...ia tidak selesaikan apa-apa.

“Kawal isu-isu itu. Tiada yang terlalu sukar ditangani jika objektifnya untuk dapatkan jawapan. Kita mesti lakukan semua usaha untuk tebus balik nama baik negara Malaysia,” katanya.

Menurutnya lagi, jangan lagi membazir masa dan usaha dengan mempersoalkan tentang demonstrasi yang berlaku.

“Fokus untuk memahami kenapa rakyat berdemonstrasi...contohnya alasan mereka turun ke jalan.

“Fokus untuk mengetahui setiap isu di peringkat akar umbi dan selesaikan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan...‘please walk the talk’,” katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud