JOHOR BAHRU – Kelantangan dan keterbukaan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan cabaran dan krisis yang dihadapi Umno secara berdepan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mendapat pujian.
Pendirian Khaled yang juga Pengerusi Umno Johor itu secara terbuka menyatakan keinginan mencari penyelesaian kepada masalah dalaman Umno selain keterbukaan Umno negeri menerima reaksi ahli akar umbi sebaik pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Tunku Ismail atau dikenali dengan panggilan TMJ memuji keikhlasan Mohamed Khaled dalam menegakkan kebenaran dan masa depan negeri Johor menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers.
“Saya memuji seikhlasnya usaha Datuk Mohamed Khaled dan usaha beliau sepatutnya dijadikan contoh kepada pemimpin-pemimpin lain.
“Janganlah menjadi seperti sesetengah individu yang sanggup menggadaikan prinsip demi kepentingan peribadi,” katanya malam tadi.
Tunku Ismail turut menegur tindakan sesetengah individu yang bersikap seperti lalang (tidak tetap pendirian).
“Janganlah juga menjadi seperti sesetengah orang yang pada mulanya hanya memuji melambung tinggi sesetengah pemimpin, tetapi apabila melihat rakyat tidak berpuas hati, berubah pula pendirian bagai lalang ditiup angin.
“Diharapkan kita sentiasa ingat, dalam memilih pemimpin-pemimpin, biarlah dilantik dari kalangan mereka yang layak, bijaksana dan telus, supaya tidak memalukan dan menjadi bahan jenaka rakyat,” katanya.-SH