ARTIKEL SEBELUM

11/08/15

Dana politik hanya boleh masuk akaun parti

PUTRAJAYA - Mana-mana dana politik hanya boleh dimasukkan ke dalam akaun parti bukan mana-mana akaun peribadi pemimpin parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, perkara itu penting dan ditekankan dalam perancangan untuk mewujudkan akta berkaitan dana politik di negara ini.

“Parti-parti politik boleh peroleh dana dengan pelbagai cara termasuk keahlian, kutipan derma, dana dari orang ramai dan dana dari korporat. Kita boleh benarkan syarikat korporat menyumbang kepada parti tapi ia mesti didedahkan kerana rakyat perlu tahu.

“Kita juga kena pastikan dana disalurkan bukan ke akaun peribadi ia mesti masuk ke akaun parti kerana jika masuk ke akaun peribadi, agak sukar untuk dipertanggungjawabkan (nanti),” katanya dalam satu temu bual, baru-baru ini.



Menurutnya, mutakhir ini, ahli-ahli politik dan rakyat sudah bersedia untuk menerima perubahan itu kerana ia baik untuk negara.

“Ketika saya di TI (Tranparensi Antarabangsa Malaysia), kami cuba untuk usahakan peraturan dalam dana politik ini. Memang sukar, ada banyak masalah. Tapi hari ini, berdasarkan perbincangan dengan ahli-ahli politik dan juga orang awam menunjukkan mereka sudah bersedia.

“Jadi, kami kena teliti perkara ini. Bagi memastikan kami gubal rangka yang sesuai untuk membuat peraturan itu bagi memastikan dana-dana yang tidak sepatutnya tidak memasuki parti-parti politik,” katanya.

Tegasnya, sumber-sumber dana politik perlu ditapis bagi mengelakkan berlakunya penyalahgunaan kuasa oleh ahli-ahli politik yang menerima dana daripada sumber yang menuntut ‘bayaran balik’.

Katanya, kerajaan sedang meneliti dan berusaha untuk menyiapkan kajian bagi mewujudkan akta ini secepat mungkin dan dibentangkan di Parlimen.- SH

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud