Ancaman kumpulan penggodam Anonymous Malaysia untuk memecahkan 150 laman web berkaitan kerajaan didapati dibuat daripada luar negara ini.
Bagaimanapun sama ada ia dibuat oleh rakyat Malaysia atau warganegara asing, perkara itu sedang diteliti, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata, siasatan polis akan lebih sukar bagi kes-kes melibatkan ancaman siber yang dilancarkan daripada luar negara.
Antara kekangannya, kata Khalid lagi, termasuk perbezaan undang-undang negara itu dan Malaysia.
“Jadi sukar sikit untuk dapatkan kerjasama negara-negara lain,” katanya.
Baru-baru ini, sebuah video Anonymous Malaysia, muncul di laman media sosial dan mengisytiharkan akan melancarkan perang habis-habisan terhadap kerajaan sedia ada.
Dalam video itu, seorang individu yang memakai topeng, mengancam menggunakan semua sumber yang ada untuk melancarkan peperangan Internet bagi menyokong perhimpunan BERSIH 4 di Kuala Lumpur pada 29 Ogos.
Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah bagaimanapun mengutuk ancaman itu dan menegaskan mereka juga tidak bersetuju dengan tindakan penggodam itu.- MKINI