ARTIKEL SEBELUM

4/08/15

PAS: Putus dengan GBH atau letak jawatan MP

Ketegangan antara PAS Kuala Terengganu dengan anggota parlimen mereka Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang menyertai Gerakan Harapan Baru (GBH) terus berpanjangan.

Ia hari ini dilihat memasuki episod baru apabila akar umbi PAS memberikan kata dua kepada Kamarul Bahrin supaya memohon maaf dan memutuskan hubungan dengan GBH.

“Jika sekiranya Datuk Raja Kamarul Bahrin masih gagal berbuat demikian dalam tempoh yang diberikan maka akar umbi, aktivis dan kepimpinan PAS Kawasan Kuala Terengganu sebulat suara menuntut Datuk Raja Kamarul Bahrin meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Kuala Terengganu dengan serta-merta,” kata Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah.

PAS Kuala Terengganu Ahad lalu secara rasmi memutuskan sebarang kerjasama dengan Kamarul Bahrin selepas beliau dikatakan mengisytiharkan diri sebagai pengerusi GHB negeri.

Raja Bahrin bagaimanapun berkata beliau masih belum membuat apa-apa keputusan tetapi dukacita dengan tindakan PAS itu kerana ia diumumkan sebelum majlis rumah terbuka hari rayanya.

Penentangan keras akar umbi PAS itu dilihat berlaku memandangkan Terengganu merupakan kubu kuat PAS dan negeri kelahiran presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menetap di Marang.

Semalam, PAS negeri menerima tamparan awal apabila bapa saudara kepada sultan Terengganu, Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Ismail mengumumkan keluar parti kerana tidak puas hati dengan kekalahan kumpulan progresif dalam pemilihan parti.

Hadi beri penjelasan

Sementara itu, dalam kenyataannya hari ini, PAS Kuala Terengganu berkata keputusan itu dibincangkan dalam perbincangan tergempar di Kuala Terengganu semalam yang dikatakan dihadiri lebih 1,000 orang.

Wan Sukari berkata, keputusan itu disokong penuh akar umbi, aktivis dan kepimpinan PAS akar umbi bagi mengelakkan “masalah GHB dan ketidakpatuhan kepada arahan pimpinan” merebak.

“PAS kawasan Kuala Terengganu sama sekali tidak bertolak ansur dalam prinsip menjunjung disiplin parti sebagai asas kekuatan perjuangan,” katanya.

Mereka juga akan menghantar laporan lengkap kepada PAS Pusat selaras dengan arahan berhubung isu GHB bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil oleh.

Sementara itu, Wan Sukairi juga berkata terdapat juga pertemuan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang telah sudi memberikan penjelasan terhadap pelbagai isu serta menjawab soalan peserta.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud