SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menganggap ketidakhadiran wakil pimpinan DAP ke majlis perasmian Muktamar Pemuda Pas ke-56 yang berlangsung hari ini kerana berlaku halangan.
"Saya tak tanya mereka (DAP) lagi. Mereka ada hal lah itu. Kita pun kadang-kadang kenduri tak pi (pergi)," katanya ringkas ketika menjawab pertanyaan media mengenai tindakan DAP mengumumkan memboikot Muktamar tahunan parti itu pada sidang media, di sini, hari ini.
Hari ini, DAP melalui Setiausaha Organisasinya, Anthony Loke mengesahkan tiada wakil daripada parti itu akan menghadiri Muktamar Tahunan Pas Ke-61 tahun ini.
Mengulas lanjut soal ketidakhadiran DAP yang masih boleh di toleransi oleh Pas, Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata, Pas akan mencari jalan penyelesaian terhadap perkara itu.
"Kita...Pas akan cari jalan terbaik untuk mencari penyelesaian...akan cari jalan yang terbaik," katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pendiriannya dan Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat yang tidak senada dengan Presiden Pas, Mohamad menjawab:"...perwakilan bebas bercakap.
“Memberi pandangan. Itu biasalah dan sebab itulah ia dipanggil muktamar. Kami...pemimpin yang akan buat keputusan dan setakat ini, tiada keputusan kami untuk keluar atau meninggalkan PR," katanya lagi.