Sesi pembentangan usul Pemuda PAS terhenti seketika apabila perwakilan melaungkan takbir ketika calon jawatan ketua pemuda Nik Abduh Nik Abdul Aziz memasuki Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK.
Bagaimanapun, Pengerusi Tetap Kamal Ashaari meminta supaya semua perwakilan bertenang apabila melaungkan takbir tanda henti kira-kira seminit.
Pada ketika itu, Bendahari Pemuda PAS Fakhrulrazi Mokhtar sedang membentang usul yang dibawa oleh sayap kanan parti itu iaitu usul mengenai keselamatan negara.
Perkara itu menyebabkan Fakhrulrazi berkata: "Dah habis? kalau tak saya suruh ustaz Nik bacakan bahas saya," katanya tersenyum.
Nik Abduh bagaimanapun diminta oleh pihak Unit Amal untuk tidak berada di dalam dewan tersebut dan duduk bersama pemerhati di dewan berasingan.
Ketika memasuki dewan yang menempatkan pemerhati, anak kepada bekas mursyidul am PAS itu sekali lagi mendapat laungan takbir.
Beliau yang hadir memakai baju Melayu berwarna kelabu dan berkot hitam kelihatan tenang dan hanya tersenyum ketika "disambut" oleh para pemerhati muktamar.
Nik Abduh bertanding bagi jawatan ketua pemuda menentang penyandangnya Suhaizan Kaiat.
Pagi tadi, seramai 696 perwakilan mengundi memilih barisan kepimpinan Dewan Pemuda kali ini. Kiraan undi telah pun selesai dan keputusan akan diketahui petang ini.