ARTIKEL SEBELUM

10/11/14

Selepas 2 bulan, Khalid Ibrahim kembali dengan NGO bersama PAS

Selepas dua bulan menghilang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka bakal menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Taski, bersempena namanya dengan bantuan PAS di kawasan Bandar Tun Razak bagi melaksanakan program "Sajian Rakyat" yang dirancangnya.

Perkara itu disahkan kepada The Malaysian Insider oleh individu yang terlibat secara langsung dalam mesyuarat antara ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu bersama PAS yang dijalankan minggu lalu Taman Jaya, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur berhubung penubuhan NGO tersebut.


"Khalid akan bergerak menggunakan NGO dan beliau meminta bantuan PAS Bandar Tun Razak untuk melaksanakannya," kata Roslan Baharom (gambar), 59, kepada The Malaysian Insider.


Roslan yang ditemui ketika tinjauan di kawasan Parlimen yang dimenangi Khalid dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei lalu berkata, PAS Wilayah Persekutuan turut memberikan kebenaran cawangan parti Islam dalam komponen Pakatan Rakyat (PR) itu membantu Khalid.

Roslan, yang merupakan wakil masyarakat dari Zon C di Bandar Tun Razak berkata, tindakan PAS dan Khalid bergerak atas nama NGO itu bertujuan bagi mengelakkan berlakunya krisis antara PKR dan PAS, selepas Khalid dipecat sebagai anggota PKR pada 9 Ogos lalu.

"Kita bergerak menggunakan nama NGO, bukan mewakili parti," kata pesara kakitangan awam itu.

Beliau berkata, antara rancangan Taski adalah menganjurkan Sajian Rakyat seminggu sekali dengan peruntukan sebanyak RM5,000 yang diperuntukkan Khalid untuk setiap program.

"Kita belum membuat keputusan. Kalau seminggu sekali kami tidak sanggup, kami ada program sendiri juga," kata Roslan.

"Tetapi itu peruntukan daripada Khalid sendiri," katanya.

Lokasi pertama Sajian Rakyat juga katanya dijangka akan dilakukan di kawasan perumahan Flat Paya Permai.

"Mesyuarat sudah dijalankan beberapa kali dan saya sendiri hadir dalam mesyuarat penubuhan NGO itu," katanya.

Turut difahamkan, Taski bakal digerakkan 15 individu yang pernah bekerja bersama-sama Khalid ketika beliau menjadi menteri besar Selangor sebelum ini.

Mereka termasuklah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Faekah Husin, yang kini merupakan pegawai khas Khalid di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dan Parlimen Bandar Tun Razak.

Faekah dalam satu kenyataan sebelum ini berkata Khalid masih lagi ingin memberikan khidmatnya kepada rakyat, dan akan meneruskan tugas wakil rakyat selepas berehat selama dua minggu.

Khalid dipecat sebagai ahli PKR apabila enggan melepaskan jawatan menteri besar Selangor, apabila Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ingin menggantikan beliau dengan isterinya, yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Krisis berkenaan turut memberi kesan kepada hubungan PAS dengan PKR dan DAP apabila parti Islam itu enggan mencalonkan Dr Wan Azizah sedangkan PKR dan DAP bersepakat menamakan beliau sebagai calon tunggal.

PAS sebaliknya menurut titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mengkehendaki PR menghantar lebih daripada dua nama untuk baginda pertimbangkan sebagai menteri besar bagi menggantikan Khalid.

Krisis berkenaan tamat apabila Mohamed Azmin Ali, yang juga timbalan presiden PKR dilantik menggantikan Khalid sebagai menteri besar.

"Beliau (Khalid) juga dijangka bakal membuka pusat khidmat rakyat tidak lama lagi di Bandar Tun Razak," kata Roslan.

Faekah dilaporkan berkata, Sajian Rakyat akan bermula minggu hadapan sebagai usaha Khalid mendekati komuniti dan rakyat di kawasannya dan meneruskan khidmatnya sebagai wakil rakyat.

Malah, Faekah juga menolak khabar angin yang mengatakan Khalid akan melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat di DUN Pelabuhan Klang dan Parlimen Bandar Tun Razak. – TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud