ARTIKEL SEBELUM

14/10/14

Lelaki Cuba Curi Peralatan TNB Melecur Hampir Seluruh Badan

 

MELAKA: Seorang lelaki melecur hampir seluruh badan selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri peralatan di sebuah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bachang di sini, Isnin.

Pengurus Besar TNB Melaka Datuk Baderul Sham Saad berkata tindakan lelaki berusia 39 tahun itu mengakibatkan dirinya terkena renjatan elektrik dan berlaku letupan serta menyebabkan berlaku gangguan elektrik hampir satu jam di kawasan sekitar Bachang.

Beliau berkata kejadian kira-kira pukul 1 petang tadi menyebabkan gangguan terhadap 12 pencawang elektrik di kawasan itu dan TNB turut mengalami kerugian kira-kira RM200,000 bagi menggantikan peralatan serta suis pencawang yang rosak.

"Lelaki berkenaan dipercayai menceroboh masuk ke pencawang tersebut dengan memecahkan kunci mangga pada pintu untuk mencuri peralatan milik TNB," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sehubungan itu, pihaknya telah membuat laporan polis di Balai Polis Malim di sini dan meminta orang awam menyalurkan maklumat ke talian 15454 sekiranya melihat individu atau kumpulan mencurigakan di kawasan pencawang TNB.
Sementara itu Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan II Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Low Liang Seong berkata pihaknya menerima panggilan pada 1.16 petang dan sembilan anggota dengan satu jentera serta Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan (EMRS) kemudian bergegas ke lokasi.

Beliau berkata ketika tiba lokasi kejadian kira-kira lapan minit kemudian, lelaki berkenaan terbaring di sebuah warung berhampiran dalam keadaan 80 peratus badannya melecur akibat renjatan eletrik berkenaan.

"Mangsa dilaporkan keluar sendiri dari kawasan pencawang dan kemudian dibantu orang awam yang berada di kawasan berhampiran," katanya.

Beliau berkata pasukan EMRS telah memberi rawatan awal kepada lelaki itu sebelum dibawa ke Hospital Melaka menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud