Tidak selesa dengan amalan orang bukan Islam tidak bermakna orang Islam boleh melarang mereka mengamalkan budaya mereka, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menjawab soalan berkaitan kontroversi pesta arak Oktoberfest, Abdul Hadi berkata sekalipun pengambilan arak dibenarkan kepada bukan Islam, tetapi ia tetap dilarang bagi orang Islam.
"Kita tak ganggu orang bukan Islam dalam perkara yang diizin agama (mereka), selain bercanggah, yang langgar fitrah manusia. Seperti upacara bakar isteri yang kematian suami.
"Islam tak benarkan korbankan wanita bila suami mati. Ada dalam adat-adat biasa, walau tak selesa, perkara dibenar oleh agama dia, sama-sama dia. Tapi ada kawalan, jaga sensitiviti," katanya dalam satu sesi soal jawab di Gombak semalam.
Abdul Hadi yang juga naib ketua kesatuan ulama sedunia menjawab soalan berkaitan sejauh manakah sikap toleransi amalan masyarakat bukan Islam yang bercanggah amalan orang Islam seperti Oktoberfest.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata dalam pemerintahan Islam memberi hak kebebasan agama, berbudaya dan berbahasa sekaligus tidak boleh menghalang sesuatu perkara yang diizinkan oleh Islam.
Boleh berfoya-foya?
Memberi contoh pendekatan kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu bahawa lesen menjual arak diberikan kepada bukan Islam tetapi dengan syarat ia dijual kepada bukan Islam sahaja.
"Ini contoh dia. (Orang Islam) tak boleh ganggu perkara yang diizin oleh agama dia (bukan Islam). Kita tak tahu berfoya-foya (dalam) agama dia benar ke? Agama dia pun tak benar kot. Ke tak ada agama.
"Kena ditapis, sejauh mana agama dia benarkan. Atau dia tak ada agama? Atau dia komunis? Komunis tak ada agama.
"Perkara yang diizin dalam agama dia, maka kawalan mesti dibuat supaya tidak sentuh sensitiviti penganut Islam dan agama lain yang tak setuju perkara yang sama," katanya.
Ketika zaman kemuncak kegemilangan Islam di pelbagai pelosok dunia, MP Marang itu berkata, orang Islam boleh memerintah dengan aman tanpa berlaku pertembungan agama dan budaya. Mkini