SHAH ALAM : Timbalan Presiden KEADILAN Azmin Ali menggesa Kerajaan menghentikan penganiayaan dan ketidakadilan terhadap Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta merta.
Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata beliau meminta mereka yang berkuasa, membenarkan kedaulatan undang-undang serta keadilan sebenar dapat ditegakkan.
Menurut kenyataan itu lagi, perbicaraan di Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan Anwar, adalah pendakwaan yang merupakan sebahagian daripada konspirasi keji, yang bermula sejak tuduhan fitnah pertama pada 1998.
Tindakan itu bertujuan membunuh watak Anwar, disamping memusnahkan kerjaya politiknya.
“Penganiayaan demi penganiayaan terhadap beliau terus berlaku, dan ia dilihat merupakan kesan daripada proses kehakiman dan jenayah yang dilihat terpesong dan mengalami kepincangan.
“Gangguan dan ketidakadilan ke atas pasukan guaman beliau juga menyebabkan kepercayaan terhadap pihak berkuasa semakin berkurangan, dan tuduhan hasutan yang dikenakan kepada peguam beliau, N. Surendran merupakan satu penafian ke atas perbicaraan adil,” kata Azmin dalam satu kenyataan.
Tambahnya, beliau mengharapkan pendengaran kes nanti, dapat memberikan keadilan sebenar kepada Anwar.