KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau masih menaruh harapan kepada hakim berhubung rayuan Fitnah ll yang akan didengar di Mahkamah Persekutuan bermula hari ini dan esok.
Berbekal kepada harapan itulah kata Anwar, beliau sanggup berdepan dengan kes ini sekalipun ada ditawarkan perlindungan oleh negara luar termasuk Turki.
"Saya masih menaruh harapan hakim buat keputusan mengikut undang-undang.
"Saya tidak bersalah, saya wajib dibebaskan," kata beliau di hadapan hampir 4,000 mahasiswa dan penyokong pada program Pidato Umum Anwar Ibrahim 40 Tahun Dari Um Ke Penjara di dataran Dewan Tunku Canselor (DTC) Universiti Malaya malam tadi.
Kehadiran Ketua Umum PKR ke UM itu sebagai memenuhi jemputan dari Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) selaku penganjur program.
Terdahulu, mahasiswa dan penyokong yang berkumpul di hadapan pintu masuk utama di laluan Kuala Lumpur, tidak dibenarkan masuk oleh pihak keselamatan yang mengunci pintu pagar.
Bagaimanapun selepas sejam membuat rayuan melalui ucapan beberapa pimpinan mahasiswa, mereka nekad merempuh pagar sehingga rantai pengunci tercabut dan pagar dapat dibuka.
Kumpulan ribuan mereka kemudian berarak masuk sambil diperhatikan pihak keselamatan.
Sejurus kemudian, Anwar dilihat tiba dengan ditemani isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anak mereka.
Mereka kemudian dibawa dengan kenderaan pacuan empat roda menuju ke dataran DTC untuk menyampaikan pidato.
Dalam ucapannya, Anwar turut membidas pihak pentadbiran UM yang disifatkan cuba mengongkong kebebasan akademik pelajar.
"Lebih 16 tahun saya dihina. Apa salah saya datang berucap 20 minit pertahan diri saya?
"Umur saya dah 67 tahun, tak munasabah nak tolak saya masuk penjara," kata beliau.
Anwar dalam pada itu turut memuji keberanian mahasiswa yang sanggup meneruskan program itu walaupun berhadapan pelbagai halangan dan tindakan selepas daripada ini.
"Saya kata kepada mereka, saya tidak mengapa jika program ini terpaksa dibatalkan kerana halangan-halangan.
"Saya salute keberanian anak-anak muda ini," katanya.
Himpunan itu kemudian bersurai secara aman setengah jam kemudian. - HARAKAHDAILY