SUBANG JAYA, 28 OKT: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali malam tadi menyampaikan mesej kepada pentadbiran Kerajaan Umno-BN supaya jangan sesekali menyentuh manusia bernama Anwar Ibrahim.
Ini berikutan, beliau yakin Ketua Umum PKR itu tidak melakukan kesalahan seperti yang difitnah, sebaliknya pendakwaan itu dijalankan disebabkan pendirian Anwar yang kuat menentang Umno dan Barisan Nasional (BN).
Kata Mohamed Azmin, oleh sebab itu juga, BN perlu ditumbangkan dalam pilihan raya akan datang.
“Kita kena mulakan esok dengan sampaikan mesej kepada Putrajaya, jangan kamu sentuh manusia bernama Anwar Ibrahim.
“Cukuplah, ‘enough is enough’. Baru-baru ini Datuk Seri Anwar dicalonkan di Kajang terus hukuman dijatuhkan. Kerana apa? Kerana takut Datuk Seri Anwar menjadi Menteri Besar.
“Sekarang nak takut apa? Lihat fakta, lihat hujah. Saya yakin Datuk Seri Anwar tidak bersalah,” kata Mohamed Azmin di hadapan hampir 2,000 orang yang membanjiri Stadium 3K di sini, malam tadi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen pula mengingatkan orang ramai supaya peka dengan perkembangan politik negara.
“Mungkin ada yang tak mahu datang kerana bimbang dengan kerja mereka tetapi sebenarnya kalau tuan puan sayang dengan kerja masing-masing, kena peka dengan politik.
“Kalau tuan puan nak ekonomi negara lebih baik kena peka dengan politik sebab politik menentukan perkembangan ekonomi dan menjamin peluang perkerjaan,” kata Wong Chen.