Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta semua pihak memberi ruang kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memilih calon menteri besar (MB) baharu dan tidak membuat sebarang spekulasi.Khalid berkata, pihaknya dinasihatkan supaya tidak membuat apa-apa kenyataan tentang calon MB kerana akan mengelirukan rakyat dan memberi persepsi negatif terhadap institusi raja.
"Kita dinasihati supaya beri ruang dan usaha kepada Tuanku Sultan melalui pejabat istana negeri melaksanakan perkara ini dengan tertib dan teratur."Jadi, saya rasa kebijaksanaan dan kesabaran Tuanku patut diberi kepercayaan dan saya harap perkara ini dapat selesai dengan baik dengan mengutamakan kepentingan Selangor," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) di Shah Alam, hari ini.
Beliau mengulas spekulasi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dari PAS, Iskandar Abdul Samad, akan dilantik menggantikan tempatnya pada Jumaat ini.
Ia dinafikan Iskandar yang berkata tidak tahu-menahu mengenai perkara itu.
Katanya, rakyat akan pasti dapat tahu keputusannya sekiranya istana mengumumkan jemputan upacara angkat sumpah di istana mengikut prosedur biasa.
"Biasanya, tradisi negeri Selangor ada jemputan bertulis dari istana negeri. Yang dijemput akan menyaksikan upacara tersebut.
"Berilah ruang masa, tidak perlu spekulasi," katanya.
Mengenai penstrukturan industri air negeri, Khalid membidas kenyataan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago yang mempertikaikan kredibilitinya menandatangani perjanjian bernilai RM9.5 bilion dengan Putrajaya yang dijangka dimuktamadkan Jumaat ini.
Katanya, Charles tidak menyemak fakta sebelum mengeluarkan kenyataan dan tindakannya tidak mendatangkan sebarang faedah kepada rakyat.
"Dia tak tahu, samalah seperti dia tak tahu pasal air beracun di kolam takungan (merujuk kes sebelum ini).
"Asyik 'tembak' (keluar kenyataan) sana sini saja. Walaupun nampak sibuk, tapi tak beri manfaat kepada rakyat," katanya.
Santiago semalam membangkitkan persoalan kesahihan perjanjian itu memandangkan kapasiti Khalid kini hanya 'caretaker' menteri besar kerana sedang menunggu proses peralihan kepimpinan pentadbiran negeri selesai.
Katanya, tandatangan yang diturunkan ketika dalam proses pertukaran kepimpinan boleh menimbulkan persoalan mengenai moral dan kesahihan undang-undang.
Beliau menggesa Putrajaya tidak tergesa-gesa melengkapkan perjanjian tersebut dan sebaliknya menunggu hingga menteri besar baharu dilantik.
Sementara itu, Khalid berkata proses penelitian perjanjian air kini berada di peringkat akhir dan yakin akan dimuktamadkan selewat-lewatnya Selasa depan.
"Ada banyak agensi yang terlibat dalam perjanjian ini termasuk Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) serta agensi lain.
"Mereka sedang berusaha memastikan perjanjian itu ditandatangani dan pelaksanaannya dapat dijalankan supaya tiada lagi perbincangan selepas ini," katanya.
Pagi ini, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata perjanjian akhir penstrukturan semula air Selangor antara Putrajaya dan negeri itu akan ditandatangani pada Jumaat.-TMI