ZAMAN dulu kala memang ada ADUN lompat terutama yang menyertai parti itu sebelum merdeka. Malah empat ADUN Kelantan diculik Umno berhari-hari. Dilepaskan pada hari sidang DUN bagi menghadiri sidang, mereka kembali ke pangkuan parti.
Lepas krisis PAS pasca BN, selepas wujudnya era pimpinan ulama tiada terdengar MP dan ADUN lompat parti. Tubuh parti lain ada.
Selepas rampasan kuasa atas kerajaan Pakatan di Perak, ADUN DAP Sekincan menyatakaan malunya dalam ceramah tentang ADUN parti itu dan parti sekutu yang lain lari atau lompat. Dia hormati tiada dari PAS yang lompat. Katanya, PAS tidak lompat kerana mereka ditarbiyah. Parti lain yang lompat itu tiada tarbiyah.
Hanya dalam krisis Pakatan di Selangor justeru PAS lewat mesyuarat, ada ADUNnya tidak bersama parti atas isu yang menyebabkan krisis itu, bahkan hadir dalam sidang media dengan parti yang sedang berlawan dengan PAS. Jika ada undi tidak percaya terhadap MB sikap PAS masih belum dimesyuaratkan, mereka tidak akan bersama PAS.
Belum ada keputusan PAS terhadap mereka, tetapi secara teknikalnya mereka sudah seperti lompat. Sekalipun belum menyatakan keluar parti, mungkin masih mengaku PAS, dengan pendirian mereka sebelum PAS membuat keputusan rasmi, mereka telah memihak kepada lawan, dan seolah-olah telah memberi kata dua kepada parti.
Mengapa wakil rakyat parti yang dikira sebagai pimpinan boleh bersikap demikian? Mungkin tarbiyah yang disebut oleh ADUN DAP Sekincan itu sudah longgar atau pun tarbiyah itu masih ada tetapi ia sudah tidak kelas lagi?
Tidak pernah sejak era kepimpinan ulama ia meminggirkan keperluan tarbiyah. Ada dalam setiap tingkat parti itu dari atas hingga ke cawangan orang yang amanahkan menangani tarbiyah. Belum ada secara terbuka menyatakan ia sudah bukan lagi parti tarbiyah.
Jika terbiyahnya sudah tidak sesuai, tiada lagi kelas seperti yang dikehendaki oleh gerakan Islam, tidak ia sekadar tanggungjawab pimpinan yang diamanahkan saja, bahkan ia tanggungjawab sekalian ahli dan aktivis semua tingkat bagi memastikan terbiyah itu sampai kepada ahlinya. Antara tanggungjawab ahli ialah memastikan semua cita-cita PAS itu terlaksana sebaiknya.
Jika ada kelemahan tarbiyah itu, apa ahli PAS, jawatankuasa berbagai lapisan, MP dan ADUN buat supaya ia memberi kesan?
Semua gerakan dan pertubuhan Islam ada tarbiyahnya. Semua ada usrah. Bahkan ia dikatakan lebih berdisiplin. Mereka memastikan setiap ahli ikut usrah dan program tarbiyah. Setengah badan dakwah itu mudah melaksanakan program tarbiyah itu kerana terdiri golongan yang sama latar belakang usia dan pendidikan. Bagi yang pernah menerima asuhan akadamik, usrah dan disiplin tarbiyah itu tidak asing untuknya. Mereka muda, tidak ramai, ada asas pada komputer dan laman web.
Ahli PAS, ada muda, ada tua dan ada yang nak mati. Ada pelajar, ada ulama, ada lulus sekolah atap, nelayan, petani, buruh kasar, pegawai dan saudagar. Nelayan dan petani boleh buat apa saja perintah politik, tapi tidak suka usrah. Tapi pasang bendera PAS di atas pokok kelapa mereka sedia. Musim pilihan raya, bermalam-malam tidak tidur. Jangan kata ia satu bentuk tarbiyah.
Yang tarbiyah seperti ini jarang tinggalkan parti. Tetapi yang tinggalkan parti itu sudah ada tarbiyah dan tukang bagi tarbiyah. Selemah-lemah PAS ada tarbiyahnya. Tetapi pihak yang disokong itu adakah tarbiyahnya dan adakah ia sebahagian daripada gerakan Islam dan badan dakwah?
Itulah malangnya orang dakwah dan ikut tarbiyah, sokong Umno dan badan bukan jamaah Islam. Betulkah tarbiyahnya. Jangan jadi macam ulama besar Bani Israil, Balgham Ba’ura didoanya rombongan Nabi Musa a.s. pulang ke Baitulmaqdis terhalang. – HARAKAHDAILY