Pengerusi Lembaga Disiplin KEADILAN, Datuk Dr Tan Kee Kwong dipanggil Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM/ROS) supaya memberi keterangan pada 28 Ogos ini berkaitan satu aduan salah laku.
KEADILAN difahamkan, satu pasukan yang diketuai Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPPM, ASP Akmal Yahya telah bertemu Kee Kwong di ibu pejabat parti di Tropicana Merchant Square hari ini.
“Dalam pertemuan tersebut, ASP Akmal memaklumkan bahawa pertemuan yang sepatutnya berlangsung esok ditunda ke 28 Ogos 2014, 10 pagi di ibu pejabat JPPM, Putrajaya,” kata Pengarah Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Semalam, Kee Kwong menerima sepucuk surat dari JPPM/ROS dan meminta beliau hadir ke Putrajaya untuk memberi keterangan pada esok, 21 Ogos, berkaitan satu aduan salah laku yang tidak diperincikan di dalam surat tersebut.
Kee Kwong akan ditemani peguam R Sivarasa dalam pertemuan minggu hadapan.