Presiden Iran, Hassan Rouhani menyeru semua negara Islam agar menggembleng sumber dan kekuatan untuk menghentikan keganasan Israel ke atas Gaza, lapor Press TV.
Katanya, hanya negara-negara Islam yang bersatu akan menjadikan Israel faham bahawa ia tidak akan untung apa-apa daripada terus-menerus menindas Palestin.
“Rejim Zionis tidak harus diberikan gambaran bahawa dunia akan membisu dan melihat saja kekejamannya.
“Atas kezaliman yang dilakukan ke atas warga Palestin, semua negara Islam mesti menggunakan kuasanya untuk menghalang penindasan itu berterusan,” kata Rouhani seperti dipetik oleh media Iran itu.
Beliau berkata demikian dalam perbualan telefon dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.
Menurut Rouhani keadaan di Gaza sekarang sangat kritikal dan menuntut kerjasama negara-negara Islam serta anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).
Press TV turut melaporkan Susilo bersetuju dan senada dengan Presiden Iran itu.
Serangan rejim Zionis sejak Selasa lalu sehingga ini membunuh sekurang-kurang 130 orang di Gaza. Hampir 1,000 orang cedera.