ARTIKEL SEBELUM

13/07/14

Bincang singkir Khalid secara tertutup, tidak tergesa-gesa, kata Anwar

 Bincang singkir Khalid secara tertutup, tidak tergesa-gesa, kata Anwar

Perbincangan untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor dilakukan secara dalaman dan usaha berkenaan tidak dilakukan secara tergesa-gesa, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua umum PKR itu berkata, Khalid setakat ini menjalankan tugasnya dengan baik terutama dalam urus tadbir kewangan negeri.

"Saya tidak fikir kita perlu tergesa-gesa. Ia perbincangan dalaman dan baik bagi kami uruskannya dalam keadaan yang baik.

"Saya selalu berpendapat beliau lakukan tugasnya dengan baik dalam hal kewangan," katanya kepada pemberita selepas memberikan sumbangan kepada anak yatim di kediamannya di Bukit Segambut.

Pakatan Anak Selangor Menyokong Menteri Besar (Pasmeb) hari ini membuat laporan polis terhadap beberapa pemimpin tertinggi PKR yang dipercayai mempunyai kaitan dalam penyebaran berita palsu peletakan jawatan Khalid minggu lalu.

Ahli Jawatankuasa Pasmeb Wan Adnan W Ab Rahman berkata beliau menamakan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Caves Amirudin Shari dan Adun Seri Muda Shuhami Shafie sebagai dalang di sebalik penyebaran berita palsu itu.

Anwar berkata, kemelut menteri besar di Selangor tidak boleh dibiarkan berpanjangan kerana ia akan mencemarkan imej Pakatan Rakyat (PR) di mata rakyat.

Katanya, terdapat badan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang sudah mula mendesak parti reformasi itu untuk membuktikan prestasi mereka berbeza dengan kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) dulu.

"Ini kerana jangkaan mereka tinggi dan ramai yang mahu tahu terutama komen NGO yang tidak berpuas hati dengan apa berlaku.

"Mereka mahu prestasi berlainan di antara kami dan BN untuk prestasi lebih baik," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan Khalid bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada satu majlis berbuka puasa pada Khamis, Anwar berkata ia pertemuan biasa.



Katanya, Khalid sudah pun memberikan penjelasan kepadanya dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berhubung perkara berkenaan.

"Kami ada sesi bersama MB dan Azizah. Ia jemputan biasa oleh jawatankuasa masjid dan saya fikir ia bukan perjumpaan peribadi.

"Segalanya sudah diluahkan dan baik baginya menghadiri majlis itu untuk Selangor. Saya tidak fikir ia jadi isu.

"Kami bertemunya malam semalam dan beliau melawak tentang perkara itu," katanya.

Najib selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam berkata pertemuannya bersama Khalid pada Khamis tidak membincangkan isu luar biasa.

Katanya, perjumpaan itu tidak lebih didasari atas rasa hormat dengan kapasiti kepimpinan masing-masing di peringkat negara dan negeri.

"Tidaklah. Dia kata dia hadir menghormati saya sebagai ketua kerajaan peringkat pusat dan saya hormati dia sebagai ketua kerajaan peringkat negeri.

"Tiada apalah. Saya tidak pelawa dia masuk Umno," katanya pada satu sidang media di Menara Dato Onn semalam. -TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud