ARTIKEL SEBELUM

13/07/14

'Argentina bukan macam Brazil'

PENGURUS pasukan Jerman, Oliver Bierhoff mengingatkan anak buah Joachim Loew agar tidak memandang mudah pertemuan final menentang Argentina di Maracana, awal pagi esok.

Menurut Bierhoff, Argentina terbukti memiliki benteng pertahanan yang sukar ditembusi sepanjang kejohanan Piala Dunia berlangsung.

Justeru katanya, pemain Jerman perlu berusaha dua kali ganda kerana pertemuan kali ini tidak sama seperti perlawanan menentang Brazil, di mana skuad Die Mannschaft melakar kemenangan besar 7-1, Rabu lalu.

Untuk rekod, Argentina sekadar bolos tiga gol daripada enam perlawanan yang dilalui, manakala Jerman bolos empat kali.

"Perlawanan ini berbeza sama sekali dengan apa yang kami lalui di separuh akhir (Brazil). Ia pasti bukan tugas mudah.

"Argentina bertahan dengan baik dan akan menghukum pasukan lawan menerusi serangan kilat yang dijana Lionel Messi.

"Mereka juga gemar bermain menggunakan sentuhan fizikal dan agresif setiap kali mendapat bola.

"Jadi, kami tidak boleh terperangkap dengan tempo permainan mereka, sebaliknya tampil dengan gaya sendiri selain menutup ruang yang mereka boleh manfaatkan," kata Bierhoff.

Dalam pada itu, Bierhoff percaya pemain Jerman tidak terbawa-bawa dengan kekalahan pada aksi final edisi 2006 di laman sendiri.

"Hanya Miroslav Klose yang masih bersama pasukan kebangsaan, jadi saya anggap ia bukan masalah besar," katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud