ARTIKEL SEBELUM

26/06/14

Murid perempuan darjah tiga diculik dan dicabul

IPOH: Seorang murid perempuan darjah tiga diculik seorang lelaki berumur 57 tahun yang menaiki sebuah kereta di stesen bas Slim River dekat sini semalam sebelum dicabul.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Supt Othman Nanyan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, mangsa dan kakaknya berumur 12 tahun berada di stesen bas berkenaan setelah tamat sesi persekolahan.

"Selepas menyedari adiknya menaiki kereta seorang lelaki, kakak mangsa telah menelefon bapanya yang kemudian terus membuat laporan di Balai Polis Slim River," katanya.

Beberapa jam kemudian polis berjaya menahan suspek bersama-sama seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai isteri dan anaknya di Taman Desa Idaman dekat Sungkai di sini, katanya ketika dihubungi hari ini.

"Sebelum suspek ditahan, dia enggan memberhentikan kenderaannya dan memecut laju menghala Plaza Tol Slim River dan seterusnya masuk ke tol Sungkai.

"Semasa di Pekan Sungkai, kenderaan suspek telah melanggar kenderaan awam jenis Proton Exora dan masuk ke Taman Desa Idaman Sungkai dan bertindak melanggar kenderaan polis di bahagian hadapan sisi kiri. Bagaimanapun anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal berjaya menangkap suspek," katanya.

Beliau berkata budak perempuan itu yang sedang berlari dalam keadaan ketakutan dijumpai seorang wanita yang memandu kereta melalui jalan lama Slim Village berdekatan perkuburan Cina dan membawanya ke Balai Polis Slim River.

Othman berkata sebelum menculik budak perempuan itu, lelaki itu mengajak mangsa menaiki keretanya kononnya untuk pergi membeli buku dan ketika berada di dalam kereta, suspek mengugut mangsa supaya tidak melarikan diri.

Suspek kemudian memberhentikan keretanya di kawasan perkuburan Cina dan mengajak mangsa ke pondok tokong di kawasan itu sebelum mencabulnya dan beredar dari kawasan itu, katanya.

Mangsa telah dihantar ke Hospital Slim River dan hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan mangsa diperkosa, katanya.

Othman berkata polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud