PETALING JAYA - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Selangor selepas ditewaskan oleh bekas Ahli Parlimen Kapar, S. Manickavasagam pada pemilihan semula parti itu pada Sabtu lalu.
Dalam pemilihan semula Sabtu lalu, Manickavasagam memperoleh majoriti undi sebanyak 186 selepas mendapat 701 undi berbanding Abdul Khalid dengan 515 undi.
Walaupun Manickavasagam bukan calon pilihan namun penggantungannya selama beberapa minggu selepas beliau lantang menentang politik wang didakwa melibatkan pesaingnya itu ternyata memberi kelebihan kepadanya.
Namun penggantungan keahliannya lebih bermakna apabila beliau kembali dalam pertandingan dan meraih kemenangan dengan mendapat sokongan luar biasa selepas akar umbi hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid.
Abdul Khalid bagaimanapun berjaya mendapat jumlah undi yang banyak bagi jawatan Timbalan Presiden berbanding penyandangnya, Mohamed Azmin Ali.
Anggota PKR Cabang Kuala Selangor memberikan Abdul Khalid 517 undi, manakala Azmin dan Datuk Saifuddin Nasution masing-masing menerima 440 dan 50 undi