ARTIKEL SEBELUM

26/06/14

Makcik Wahida berjaga malam bimbang rumah diroboh

 

KUALA LUMPUR: Wahida Mat Salleh, 73, atau lebih dikenali sebagai Makcik Wahida terpaksa berjaga malam secara bergilir-gilir dengan suaminya kerana risau rumahnya diroboh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) secara mengejut.


Makcik Wahida merupakan seorang penduduk di Kampung Chubadak Tambahan merupakan salah seorang mangsa apabila rumah mereka dirobohkan DBKL sebelum ini.

Beliau ketika ditemui Harakahdaily memberitahu akan terus mempertahankan rumahnya walaupun DBKL tetap bertegas untuk merobohkannya.

"Sekarang makcik terpaksa berjaga setiap malam bergilir-gilir sebab takut rumah ini diroboh secara mengejut.

"Makcik akan terus mempertahankan rumah ini selagi tidak ada keadilan untuk makcik, menang atau kalah makcik akan tetap duduk di sini," katanya.

Beliau yang menjelaskan pernah menolak pembangunan tetapi kerajaan perlu bersikap adil dan memberi pampasan yang sewajarnya dan bukannya mengambil kesempatan.

"Hormatilah orang tua seperti makcik, kita tidak pernah menolak pembangunan tetapi biarlah keadilan diberikan sewajarnya dan jangan mengambil kesempatan dari usia makcik ini," jelasnya yang turut mengidap sakit jantung, paru-paru dan darah tinggi.

Ketika ditanya mengenai keputusan mahkamah yang akan diketahui esok 26 Jun yang berkemungkinan DBKL akan terus bertindak merobohkan rumahnya, beliau memberitahu akan terus mempertahan dari rumahnya diroboh.

"Harapan makcik kepada pemerintah atau orang yang berkenaan tolong beri kerjasama dan beri inisiatif terbaik untuk kami sepertimana yang kami pohon.

"Makcik cekal hati Allah tetap melindung orang yang benar, apa yang akan terjadi makcik akan pertahankannya," sambung beliau yang telah menetap di Kampung Chubadak hampir 45 tahun.

Harakahdaily sempat meninjau sekitar rumah yang telah diroboh itu memdapati keadaan tidak terurus untuk seorang warga tua.

Beliau yang kini mendiami rumah yang dibina sebelah tapak rumah asal secara bergotong royong penduduk setempat hanya sekadar tempat untuk berteduh, manakala untuk kemudahan bilik air beliau terpaksa pergi ke tempat rumah asal yang telah diroboh. - HARAKAHDAILY

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud