Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menyifatkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu majlis perkahwinan seorang pengantin perempuan beragama Hindu dengan nama Islam sebagai "memalukan" dan "merosakkan majlis perkahwinan".
Beliau berkata demikian sewaktu ditanya jika kerajaan negeri menganggap tindakan JAIS menyoal siasat pengantin itu, Zarina Abdullah Majid, 32 tahun sebagai satu "serbuan".
"Menurut JAIS ia bukan serbuan, menurut akhbar ia satu serbuan, menurut kami ia perkara yang memalukan.
"Majlis kahwin adalah acara yang gemilang dan mereka sepatutnya tidak merosakkannya," kata Khalid pada sidang media di Shah Alam, petang ini.
Menurut Khalid, JAIS juga sudah diberi amaran agar memastikan serbuan pihak berkuasa agama Islam ke atas premis orang bukan Islam itu tidak berulang untuk kali yang keempat.
Menurutnya, serbuan sebegitu perlu mendapat pandangan kerajaan negeri terlebih dahulu dan hanya serbuan JAIS ke atas orang Islam sahaja tidak perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri.
"Kepada orang Islam sahaja, kita benarkan JAIS menjalankan kerja-kerja mereka dan buat laporan," katanya.
Mkini
Mkini