ARTIKEL SEBELUM

3/06/14

Lainlah kalau PAS tanding, kata Mahfuz kepada Gobind

KUALA LUMPUR: PAS menasihatkan Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo membuat kajian menyeluruh sebelum membuat kesimpulan punca sebenar kekalahan DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan yang lalu.

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan Gobind kononnya isu hudud penyebab kekalahan DAP pada pilihan raya itu, adalah alasan yang tidak masuk akal.

"Kalau kata orang Cina tak undi DAP sebab hudud, itu sesuatu yang pelik sebab semua orang tahu DAP memang dari dulu lagi konsisten tak sokong hudud pun.

"Tak kan orang Cina tak percaya kepada DAP menentang hudud.

"Lain lah kalau orang Cina tak undi calon PAS sebab PAS mahu laksanakan hudud," katanya Ahli Parlimen Pokok Sena itu kepada Harakahdaily.

Jika mengambil kira punca yang sama, Mahfuz mempersoal kenapa pengundi Cina tidak pula menolak DAP pada Pilihan Raya Kecil Bukit Gelugor lalu.

Sambil menyifatkan kenyataan Gobind itu sebagai pandangan peribadi, Mahfuz juga meminta Ketua Biro Undang-Undang DAP itu tidak mengeluarkan pandangan separuh masak.

"Kita harap DAP membuat kajian menyeluruh dari semua aspek. Kita tidak menolak faktor pengundi luar yang tidak pulang dan orang tempatan yang tidak keluar mengundi," katanya.

Gobind dalam The Roket hari ini dipetik berkata, bahawa isu hudud punca calon partinya Dyana Sofya Mohd Daud kalah dalam PRK Teluk Intan.

Menurutnya, berdasarkan analisis awal, DAP telah kehilangan 25 peratus daripada undi bukan Melayu dalam PRK itu akibat isu itu.

“Saya berpendapat bahawa kontroversi di sekitar pelaksanaan hudud oleh PAS menjadi menyumbang yang ketara terhadap kekalahan kami di Teluk Intan," katanya. - HARAKAHDAILY

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud