ARTIKEL SEBELUM

3/06/14

Umno celaka: Jika mahu saya tarik balik, biar dalam sidang DUN, - Rayer

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima, RSN Rayer berkata tiada sebab baginya untuk menarik balik ungkapan ‘Umno Celaka’ secara terbuka kerana perkataan itu dilafazkan dalam DUN Pulau Pinang.

Beliau berkata jika ada pihak yang mendesaknya mahu menarik balik ungkapan itu, maka ia juga harus dibuat dalam sidang DUN yang akan datang.

“Benda ini sudah berlaku di dalam Dewan. Habis juga di dalam Dewan. Kalau hendak tarik balik pun, tarik balik di dalam Dewan. Sekarang persidangan Dewan sudah habis.“Kalau saya tidak tarik balik, mereka boleh rujuk saya kepada tindakan disiplin melalui Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Mereka patut berbuat begitu,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan semasa berkempen di Teluk Intan pada minggu lalu mendesak Rayer untuk menarik balik ungkapan ‘Umno Celaka’.

Katanya, jika Umno celaka, parti Melayu itu tidak akan mampu memerdekakan negara dan menjadi pemimpin kepada parti komponen dalam BN.

“Saya hendak beritahu Adun DAP yang menuduh Umno celaka. Di hadapan ini ada parti komponen, jika Umno celaka, Malaysia belum merdeka pada saat dan ketika ini. Umno bukan parti celaka.

“Presiden Umno enam orang silih berganti. Ketua DAP seorang, tidak ganti-ganti. Presiden Umno jadi perdana menteri kepada orang Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak. Itu dia presiden Umno.

“Kalau Umno celaka, ia tidak mengeluarkan presiden yang baik menjadi perdana menteri kepada seluruh rakyat Malaysia. Kita minta Rayer minta maaf dan tarik balik kenyataan,” kata Ahmad.

Rayer berkata pada dasarnya pemimpin Umno Pulau Pinang yang mula menyalahkan DAP tentang insiden 13 Mei semasa membuat perarakan di negeri itu.

Katanya, dirinya masih waras dan sedar apa akibatnya jika ungkapan ‘Umno Celaka’ itu ditujukan kepada orang Melayu secara keseluruhannya.

“Bila mereka tuntut, saya enggan tarik balik kerana saya mempunyai bukti kukuh penglibatan tiga orang pemimpin Umno tertentu yang cuba mengadakan demonstrasi menyalahkan DAP bagi perkara yang berlaku dalam 13 Mei.

“Saya bukan orang gila hendak katakan Umno celaka. Kalau saya berhujah tanpa apa-apa bukti memang orang boleh ingat saya kurang siuman, tetapi bila saya berbahas, saya ada bukti, tunjukkan gambar daripada laman sesawang dan akhbar,” katanya.

Rayer berkata jika Umno ikhlas mahu memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia, maka tindakan kepada pemimpin Umno Pulau Pinang seperti Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Shabudin Yahaya perlu diambil.

Katanya, apa yang dilakukan Pemuda Umno tidak boleh disalahkan 100% kerana mereka mendapat maklumat yang tidak tepat dari media arus perdana.

“Mereka salah faham kenyataan ini tidak ditujukan kepada Umno secara amnya, tetapi kepada tiga pemimpin sahaja. Nama mereka sudah pun disebut dalam sidang Dewan.

“Kemungkinan mereka hanya melihat laporan yang dibuat di TV tertentu dan bertindak atas laporan itu. Saya tidak salahkan mereka (Pemuda),” katanya kepada The Malaysian Insider.

Pemuda Umno Pulau Pinang pada bulan lalu, menyerbu masuk DUN Pulau Pinang dan mencari Rayer untuk menarik balik kenyataan ‘Umno Celaka’ yang dikeluarkannya.

Pemuda Umno Wilayah Persekutuan pula mengadakan bantahan di Ibu Pejabat DAP Kuala Lumpur dan mengugut mahu membakar tempat itu jika perkataan itu dikeluarkan sekali lagi.

Bagaimanapun, kebanyakan pemimpin Umno tidak melihat ia sebagai satu isu besar, sebaliknya menyalahkan Rayer kerana menghamburkan perkataan itu.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kelakuan pemuda parti adalah reaksi semula jadi kerana rasa tercabar dengan ungkapan ‘Umno celaka’ oleh Rayer.

Katanya, reaksi Pemuda Umno dan orang Melayu di dua negeri itu adakan tindak balas spontan apabila Umno dicabar dan tercabar.

“Memang merupakan sifat semulajadi Pemuda Umno tidak akan berdiam diri ketika parti tercabar dan dicabar.

“Mereka sentiasa bersemangat untuk mempertahankan maruah parti,” katanya.

Rayer berkata pemimpin tertinggi DAP ada menasihatkannya bagaimana untuk menyelesaikan kontroversi itu namun enggan bercerita lanjut.

“Ada nasihat. Kita terima nasihat itu. Itu saya tidak mahu komen,” katanya

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud