ARTIKEL SEBELUM

11/05/14

Nabi Bux mengaku ahli, PAS rujuk peguam

 

PAS akan mengambil tindakan undang-undang berhubung kenyataan Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abd Satar yang mengaku sebagai ahli parti itu.

Mohamed Nabi Bux yang mendakwa dirinya bekas Setiausaha PAS Cawangan Kampung Banjar telah menawarkan diri untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor pada 25 Mei nanti.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar yang dihubungi Harakahdaily berkata, pencarian telah dilakukan dan mendapati nama Mohamed Nabi Bux tidak terkandung di dalam sistem keahlian PAS.

"Dakwa sebagai ahli PAS adalah pembohongan semata-mata dan melalui carian yang dilakukan, kita mendapati beliau merupakan ahli Umno.

"Kita akan mendapat nasihat dari peguam untuk tindakan undang-undang berhubung pengakuan palsu yang menjejaskan imej PAS," jelas beliau.

Carian turut mendapati, Mohamed Nabi Bux yang memegang nombor ahli 2700360 merupakan ahli Umno Cawangan Kampung Banjar.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menegaskan PAS memandang serius kesalahan tersebut yang merupakan kesalahan jenayah.

"Pengakuan palsu itu bertujuan untuk memecah belah PAS di dalam Pakatan Rakyat dan ia merupakan satu kesalahan jenayah.

"Tindakan itu bukan sahaja menjatuhkan maruah PAS tetapi turut mengelirukan ahli-ahli PAS dan juga rakan kita dalam Pakatan Rakyat," sambung beliau.

Mahfuz turut memberitahu perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat esok untuk tindakan selanjutnya. - Harakahdaily







 Pas anggap calon DAP sebagai wakilnya



GEORGETOWN - Pas mengisytiharkan sokongannya terhadap Ramkarpal Singh sebagai calon DAP pada PRK Parlimen Bukit Gelugor yang dijadual berlangsung pada 25 Mei ini.

Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu berkata, partinya menganggap calon DAP itu sebagai wakilnya sendiri dan akan memberi sokongan padu kepada anak ketiga mendiang bekas Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh itu.

“Kita beri sokongan penuh dan malam esok (hari ini), kita akan lancarkan jentera pilihan raya Pas untuk membantu DAP dalam PRK Bukit Gelugor,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon DAP di sini, semalam.

Mohamad Sabu, yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri memberitahu, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan hadir bagi memberi sokongan kepada calon DAP itu (Ramkarpal) pada hari penamaan calon, Isnin ini.

Mengenai ahli Pas Gombak, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abd Sathar, 63, yang menawarkan diri untuk bertanding, katanya Pas akan menyiasat kesahihan keanggotaan individu berkenaan.

Beliau berkata, Pas membuat keputusan tidak akan meletakkan calon dan jika benar individu itu adalah anggota parti, Pas tidak teragak-agak mengambil tindakan untuk memecatnya. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud