ARTIKEL SEBELUM

11/05/14

Umno tidak ikhlas sokong hudud, mahu sembunyi kecuaian kendali MH370, kata Anwar

 Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Umno menggunakan isu hudud bagi mengaburi mata masyarakat terhadap isu negara lain yang lebih penting. – Gambar fail The Malaysian Insider, 10 Mei, 2014.

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyifatkan Umno tidak ikhlas dalam menyatakan sokongannya kepada cadangan hudud di Kelantan sebaliknya menjadikan isu itu untuk mengaburi mata rakyat berhubung isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Ketua Umum PKR itu berkata Umno tidak perlu terburu-buru menyatakan sokongan terhadap percubaan PAS untuk membawa rang undang-undang persendirian hudud di Parlimen tetapi melihat pelbagai salah laku yang biasa dilakukan mereka.

“Hudud bukan sahaja isu untuk mengalih perhatian MH370 tetapi saya percaya hudud (mereka) tidak ikhlas. Dia nak hudud, kasino bagaimana? Rompakan kekayaan dan penindasan bagaimana?“Tidak mungkin orang curi ayam (baru mahu) sokong hudud, orang curi balak satu juta hektar dilepaskan. Saya tidak percaya Umno serius tetapi membawa isu ini untuk mengalih pandangan isu lain,” katanya selepas menyampaikan kuliah bertajuk Ekonomi Manusiawi di Dewan Reformasi Demokrasi dan Upaya Masyarakat di Puchong, Selangor.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob hari ini berkata PAS tidak perlu bergabung dengan Umno bagi menyokong cadangan pelaksanaan hukum hudud di negeri itu sebaliknya kedua-dua parti perlu komited untuk melaksanakan hukum Islam itu, lapor Bernama.

Katanya, hukum hudud adalah tuntutan dalam Islam dan isu penggabungan kedua-dua parti itu tidak perlu dibangkitkan langsung.

Anwar berkata Umno jelas hanya mahu mempermainkan isu hudud tanpa mempunyai hala tuju sebenar untuk merealisasikan impian kerajaan negeri Kelantan.

Katanya, perkara yang harus dibincangkan Jawatankuasa Teknikal Hudud tidak perlu diperbesarkan kerana kepincangan dalam kerajaan masih berleluasa.

“Saya ingat bukan soal teknikal tetapi prinsip yang penting. Umno hanya nak permainkan isu ini. Hala tujunya tidak ke mana. Dia kena jawab, betul ke dia nak?

“Dia kena betulkan banyak kepincangan yang ada. Saya tidak pakar dalam bidang ini tetapi saya banyak membaca. Semuanya yang dilakukan kerajaan bercanggah.

“Jika betul nak buat, dia kena betulkan rasuah yang meluas, kezaliman, bahang perkauman, menghina orang dan salah guna kuasa. Peguam negara macam itu, hakim macam ini. Nak cakap soal hudud. Apa dia?” katanya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut mengulas isu pemilihan PKR yang dilihat berlaku kepincangan di beberapa cabang sehingga pemilihan semula terpaksa diadakan.

Katanya, isu Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang mungkin akan mempertikaikan pemilihan parti kali ini tidak timbul kerana PKR mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan proses pemilihan diadakan secara telus.
“Kami ikut peraturan malah dalam kes DAP, mereka (RoS) tidak kisah tentang peraturan. DAP mengambil semua pendekatan bagi membetulkan apa yang dikatakan RoS sebagai di luar kebiasaan.

“Namun mereka tetap bertindak kepada DAP. Semua komponen parti dalam BN lebih teruk,” katanya.

Anwar dalam kuliahnya sempat mengkritik moto “Negara Berkebajikan” yang sering digunakan PAS dalam kempen pilihan raya dan mendakwa ia menjadikan rakyat tidak berdikari.

Katanya, apa yang patut ditawarkan kepada rakyat adalah kebebasan dari segi ekonomi agar tidak terus dibelenggu dengan kemiskinan.

“Saya tak mahu sebut negara kebajikan yang dipopularkan oleh PAS. Ada kebaikannya tetapi saya lihat istilah itu bahaya kerana kebajikan lebih banyak dianggap membantu orang miskin dan menyebabkan sindrom kebergantungan yang banyak dikupas pakar ekonomi.

“Bahaya kita jadikan ekonomi ini setakat bantu tetapi tidak memerdekakan. Orang yang miskin terdedah kepada digunakan dan dieksploitasi,” katanya dalam kuliah yang turut dihadiri senator Dr Syed Husin Ali.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa Pilihan Raya Umum ke -12 (PRU12) 2008 mempromosikan konsep negara berkebajikan yang membawa maksud sebuah negara yang mengutamakan kebajikan dan keselesaan rakyat sebagai agenda utama pembangunan negara.

Katanya, antara ciri negara berkebajikan adalah pembangunan bagi manfaat dan kebajikan rakyat awam, kerajaan adalah penjaga kepada rakyat, penekanan kepada kecemerlangan moral dan pembangunan insan adalah matlamat.-  TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud