KUALA LUMPUR: Sejarah membuktikan bahawa individu yang keluar daripada Umno bertujuan menuntut keadilan manakala yang bertindak keluar daripada parti pembangkang khususnya PKR adalah kerana mencari habuan, kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.
Mengulas kenyataan Ketua Puteri Umno Kedah, Norashimah Md Nowar yang mendakwa ramai anggota PKR bertindak keluar parti kerana PKR "cukup bermasalah dan dikawal satu kelompok", Fahmi (gambar) menyifatkannya sebagai tohmahan yang tidak berasas dan berusaha mengalih pandangan umum daripada kepincangan kronik dalam Umno.
"Jika kita lihat, mereka yang keluar KEADILAN terutamanya bila berdekatan waktu strategik seperti musim pilihan raya kerana umpan, habuan dan tawaran.
"Ada yang keluar untuk jadi senator. Ada yang keluar untuk jadi duta. Ada yang keluar untuk jadi pengerusi yayasan besar. Ada yang keluar untuk membantu melangsaikan hutang," ujar Fahmi.
Berbanding dengan mereka yang keluar Umno khususnya di kalangan pucuk pimpinan dan pengasas, mereka jelas Fahmi menagih keadilan serta menolak dasar dan kepimpinan parti itu sendiri.
Menurut beliau, Dato' Onn Jaafar bertindak keluar Umno kerana parti itu enggan mengubah dasar dan membuka pintunya kepada kesemua rakyat Malaya manakala Tun Hussein Onn mengikuti langkah bapa beliau dan keluar Umno atas prinsip yang sama.
Presiden Umno kedua, Tunku Abdul Rahman, ujarnya keluar Umno kerana rasa teraniaya dan mendahagakan keadilan buat dirinya.
"Begitu juga Tun Dr Mahathir yang pernah keluar Umno kerana terasa diri dianiaya," tambah Fahmi.
Menyentuh isu pemilihan PKR, beliau menyifatkan kenyataan dan pengumuman Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR membuktikan betapa seriusnya parti dalam menangani isu disiplin dan memastikan proses berjalan lancar.
"Suara akar umbi diamati apabila aduan dan bantahan yang diterima daripada lebih 60 Cabang didengar satu per satu; setelah bukti dikumpul dan disahkan, mereka yang didapati melanggar tatatertib, tatatetika, dan disiplin parti akan dikenakan tindakan tanpa mengira bulu.
"Oleh itu, saya cadang Ketua Puteri Umno Kedah dan seluruh pimpinan parti itu untuk cermin diri sendiri dan bermuhasabah sebelum menyerang pihak lawan dengan retorik lemah sebegini," tegasnya. - HARAKAHDAILY,