ARTIKEL SEBELUM

13/10/13

Pas belum boleh laksana hudud


SHAH ALAM – Pas masih belum boleh melaksanakan hukuman hudud walaupun beberapa kali melakukan perbincangan dan memperjuangkannya untuk direalisasikan di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, bidang kuasa yang terhad menyebabkan hasrat itu masih tertunda untuk ditunaikan.

Sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menyatakan Pas tetap akan melaksanakan hukum hudud sekiranya PR menang di Putrajaya pada PRU13 Mei lalu walaupun ditentang parti komponennya, DAP.

“Walaupun kita memerintah Kelantan dan Selangor serta pernah memerintah Terengganu, tetapi kuasa penentu masih di tangan Kerajaan Persekutuan.

“Sebab itu kita perlukan semua kesepakatan dan syarat melaksanakan undang-undang Islam, ia mesti lengkap terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Seminar Pelaksanaan Syariah Islam Di Malaysia yang diadakan di Unisel, hari ini di mana beliau merupakan pembentang ucaptama dalam seminar itu.

Hadi berkata, Pas mengadakan dialog sejak 90-an lagi dengan rakan dalam PR termasuk bukan Islam.

“Pas menjelaskan mengenai syariah Islam kepada mereka dan mereka (bukan Islam) tidak akan terlibat dengan undang-undang ini.

“Namun, kami mahu mereka lihat dahulu bagaimana undang-undang ini dilaksanakan dan syariat Islam ini tidak boleh dibaca begitu sahaja, perlu tahu proses mahkamah, kehakiman dan proses yang lain,” katanya.

Beliau berkata, yang pastinya undang-undang itu dapat menakutkan penjenayah walaupun mengakui ia susah menjatuhkan hukuman.

“Undang-undang ini salah satu rukun dalam negara, jika kurang maka tidak boleh laksana. Mengikut kaedah politik dan undang-undang antarabangsa mesti ada lima syarat iaitu ada pemimpin, negara, rakyat, perlembagaan dan kedaulatan,” katanya.  sh

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud