IPOH – Kesudian Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Perak bakal memberi saingan sengit kepada Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berlangsung, sekali gus membantu kejayaan Pakatan Rakyat (PR).
Yakin dengan perkara itu, Setiausaha DAP Negeri Perak, Nga Kor Ming berkata, kehadiran Anwar bakal mencetus fenomena baru dalam proses pilihan raya di negeri ini.
"DAP Perak mengalu-alukan beliau bertanding di sini (Perak) kerana kita yakin beliau dapat membantu kemenangan PR. Malah, rakyat negeri ini beruntung kerana ini kali pertama dalam sejarah, calon perdana menteri bertanding di negeri ini.
"Kita akan beri bantuan terus menerus kepada beliau (Anwar) sepanjang tempoh pilihan raya agar dapat mencipta sejarah baru, iaitu perdana menteri dari Negeri Perak," katanya pada sidang media, semalam.
Hadir sama, Pengerusi DAP Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham serta barisan pimpinan DAP Negeri.
Kor Ming turut menggesa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Momamed menyahut cabaran Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk bertanding di Gelang Patah pada PRU13 bagi membuktikan dirinya masih relevan dalam arena politik serta masih diterima rakyat.
"Pada hari ini, Mahathir banyak mengeluarkan kenyataan di media sedangkan beliau sendiri telah bersara dari arena politik negara. Saya cabar beliau (Mahathir) untuk menyahut cabaran Kit Siang dan kita lihat rakyat mahu memilih 'Malaysia baru' atau 'Malaysia lama'," katanya.- SH