KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia berpandangan bukan DAP yang menghalang perjuangan PAS menegakkan Islam, sebaliknya Umno yang bersikap sedemikian. Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Raja Ahmad Iskandar al- Hiss, berkata perjuangan PAS untuk menegakkan syariat Islam selama ini terhalang dengan sikap Umno yang berkuasa.
"Ketika ini, DAP tidak memerintah di peringkat pusat. Yang banyak menghalang kerja PAS untuk menegakkan Islam ini adalah Umno."Sejak kita merdeka 55 tahun, apa yang Umno tidak buat untuk menghalang PAS untuk tegakkan Islam?" soal beliau.
Tegas beliau lagi, halangan yang dilakukan Umno itu boleh dibuktikan ketika kerajaan Kelantan meluluskan enakmen undang-undang Islam negeri itu pada 1994.
"DAP tidak menghalang dengan kuasa. Mereka hanya mengeluarkan kenyataan yang bagi kami hanya sebagai satu pandangan yang berbeza. Yang mana perbezaan itu, Insya-Allah boleh diperbincangkan dari masa ke masa di dalam Pakatan Rakyat," tegas beliau lagi.
Beliau juga memberitahu Pemuda PAS memulakan pecutan terakhir menjelang pilihan raya umum dengan melancarkan roadshow Selamatkan Malaysia ke seluruh negara, selain melancarkan janji-janji anak muda yang ditawarkan Pakatan Rakyat melalui manifestonya.
Tanpa memperincikan butiran janji-janji tersebut, beliau berkata dewan itu akan menumpukan kepada tiga kerangka besar, meliputi aspek ekonomi, sosial dan pendidikan.
"Butiran lanjutnya, akan kita fokuskan ketika pelancarannya nanti. Buat masa sekarang tiga kerangka itulah yang akan kita tekankan kepada anak-anak muda," tegas beliau pada sidang media Pemuda PAS, di Pejabat Agung PAS Pusat, hari ini.
Turut serta pada sidang media tersebut ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Ketua Penerangan, Ustaz Ridhuan Mohd Nor, dan Pengarah Pilihan raya Pemuda PAS, Mohd Sany Hamzan.
.
Harakahdaily.com