ARTIKEL SEBELUM

19/04/10

Kerajaan Kelantan bawa kes royalti minyak ke Mahkamah



KOTA BAHARU 19 April - Kerajaan Pas Kelantan akan membawa kes tuntutan royalti minyak daripada Kerajaan Pusat ke Mahkamah sebagai jalan terakhir selepas gagal berunding dengan Petronas.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, langkah itu diambil sebagai memenuhi resolusi yang diputuskan oleh kerajaan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lepas.

Beliau berkata, pada persidangan itu, semua anggota dewan bersetuju supaya tuntutan royalti minyak yang diperoleh di perairan negeri ini dibuat secara rundingan dengan Petronas dan jika gagal, barulah tindakan mahkamah diambil.

Pesuruhjaya Pas II Kelantan itu juga berkata, kerajaan negeri berusaha untuk berunding dengan Petronas dan sudahpun menghantar surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas yang baru, Datuk Shamsul Azhar Abbas untuk tujuan itu tetapi tiada jawapan.

"Atas dasar itulah, kita akan tetap mengemukakan tuntutan royalti minyak kerajaan negeri ke mahkamah. Bagaimanapun, bila dan bentuk tindakan itu bergantung kepada keadaan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci rumah kedai dan pejabat Bandar Baharu Tunjung, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Kerajaan Pusat membuat keputusan tidak akan membayar tuntutan royalti minyak kepada Kelantan sebaliknya diberi dalam bentuk wang ihsan.

Mengenai kenyataan bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah tidak sanggup menjadi orang tengah dalam rundingan tuntutan itu, Husam berkata, beliau akur dengan keputusan pemimpin veteran UMNO itu. - Bernama



posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud