ARTIKEL SEBELUM

19/04/10

Tindakan Dr Halili Tak Jejas PRK Hulu Selangor




Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff menyifatkan Bendahari KEADILAN Hulu Selangor, Datuk Dr Halili Rahmat yang bertindak keluar parti hari ini sebagai seorang pakar bedah saraf yang bijak pandai tetapi gagal mendokong dasar yang diperjuangkan parti itu demi mempertahankan sistem demokrasi di Malaysia.


"Saya menghormati keputusan Dr Halili tetapi dalam masa yang sama saya ingin mengatakan bahawa apa yang sebenarnya yang nak dicapai kalau beliau selaku seorang yang berpendidikan tinggi mahu melihat Malaysia sebuah negara yang demokratik sifatnya maka keputusan beliau perlu memberi kebaikan kepada pendokong dan pejuang demokrasi dan keadilan dalam negara ini.

"Dalam hal ini bagi saya Dr Halili perlu tahu bahawa keputusan beliau sebenarnya bukannya memperkuatkan amalan demokrasi dinegara ini tetapi sebaliknya mendokong kelompok yang jelasnya tidak menghayati cita-cita demokrasi untuk rakyat Malaysia dan sebab itulah saya mempertikaikan keputusan beliau," katanya di lobi Parlimen tengahari tadi.

Banyak pihak menganggap langkah Dr Halili keluar KEADILAN pada saat parti menghadapi PRK Hulu Selangor sebagai hasil perasaan kecewa kerana tidak dipilih sebagai calon.

Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail menegaskan penyertaan Dr Halili ke dalam Umno ketika kempen pilihanraya berlangsung tidak menjejaskan kekuatan parti untuk terus bekerjan keras bagi menghadapi pilihan raya kecil Hulu Selangor 25 April ini.

"Saya tidak nampak kelemahan ke atas jentera KEADILAN baik mana-mana bahagian dan tidak berlakunya tunggang-langgang pada setiap jentera yang bertugas disebabkan pengumuman beliau keluar parti dan setakat ini keputusan tersebut tidak menjejaskan calon kita," katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar pula meletakkan harapan tinggi kepada Datuk Zaid Ibrahim dan menyifatkan beliau calon terbaik yang diputuskan KEADILAN.

"Penyertaan Dr Halili ke dalam Umno memang tidak diduga sebab beliau juga antara calon akhir bagi Hulu Selangor, bagaimanapun Zaid Ibrahim adalah calon yang terbaik dan kita mengharapkan kemenangan berpihak kepada kita," ujar beliau.

Mengulas isu yang sama, Ahli Parlimen Batu Tian Chua pula mengucapkan selamat jalan kepada pakar saraf itu tetapi kecewa kerana calon Barisan Nasional sehingga kini masih belum mengumumkan apa perubahan yang akan dilakukan kepada penduduk di Hulu Selangor.

"Pilihan raya kecil adalah satu pertarungan dari segi dasar dan personaliti calon serta agenda perkhidmatan yang akan disumbangkan oleh wakil rakyat.

"Sehingga sekarang saya merasa kecewa sebab kita masih tidak dengar lagi apa yang calon BN nak buat di Hulu Selangor," katanya lagi.

Dr Halili membuat pengumuman keluar parti di Petaling Jaya dalam satu sidang media pagi tadi.

Anak kelahiran Ulu Yam itu pernah dua kali bertanding dalam pilihan raya umum pada 1999 (Hulu Selangor) dan 2004 (DUN Batang Kali), tetapi tewas kedua-duanya.



posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud