ARTIKEL SEBELUM

19/09/15

PKR tetap ajak PAS bincang Pakatan baharu walaupun Hadi keras

Meskipun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak kerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah), namun PKR tetap akan meneruskan usaha rundingan membentuk gabungan pembangkang baharu bersama parti Islam itu.

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata partinya sentiasa menawarkan diri untuk mengetuai rundingan tersebut agar permuafakatan dapat dijalinkan.

"Tidak apa. Kita akan terus ajak berbincang dan kita kira tidak ada rugi PKR mengetuai rundingan supaya diwujudkan keharmonian dan kerjasama baik ," katanya selepas majlis penyerahan lembu korban sumbangan kerajaan negeri di perkarangan bangunan Sultan Idris Shah di Shah Alam Selangor hari ini.



Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Hadi yang menolak menjalinkan kerjasama politik dengan Amanah atas alasan pengkhianatan kepada PAS.
Sebelum ini PKR tetap dengan pendirian mengajak PAS menyertai gabungan pembangkang baharu yang turut disertai Amanah dan DAP.

Malah, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan pertemuan meja bulat antara parti pembangkang yang akan diadakan pada Selasa depan yang turut dihadiri PAS.

Pada masa sama menteri besar Selangor itu ditanya mengenai ketidakhadirannya semasa pelancaran parti Amanah pada Rabu lalu.

Menegaskan ketidakhadirannya bukan merupakan isu yang besar, Azmin berkata perkara itu tidak dapat dielakkan kerana terpaksa menghadiri urusan lebih penting terlebih dahulu.

"Saya ada beberapa urusan lain yang lebih penting dan sudah ditetapkan sejak awal. Lagipun ada beberapa siri pertemuan yang dibuat bersama pimpinan tertinggi Amanah.

"Kita berjumpa dalam beberapa bulan sebelum ini untuk memastikan bahawa pakatan mempunyai pertalian kuat dan bersedia dalam pilihan raya akan datang. Saya tidak rasa ianya ( tidak hadir) menjadi satu isu," katanya.

Menurut Azmin, beliau akan sentiasa memastikan untuk mempunyai hubungan baik dengan semua parti politik pembangkang termasuk PAS, DAP dan Amanah.

 http://www.themalaysianinsider.com

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud