ARTIKEL SEBELUM

1/08/14

Kadar tol naik, bas pekerja kilang Johor mogok

Puluhan bas membawa pekerja kilang dari Johor Baru pagi ini enggan meneruskan perjalanan masuk ke Singapura, dipercayai mogok ekoran kenaikan 400% kadar tol berkuatkuasa hari ini, lapor akhbar The Star.

Keadaan itu menyebabkan berduyun-duyun pekerja kilang terpaksa berjalan kaki masuk ke Singapura selepas bas mereka enggan melepasi pintu masuk sempadan.

Pengumuman Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada 26 Julai lalu itu menimbulkan bantahan orang ramai, termasuk wakil rakyat Johor daripada pembangkang dan kerajaan yang menganggap kadar kenaikan tidak adil dan membebankan rakyat tempatan yang bekerja di Singapura.Kenaikan kadar baru tol di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar menyebabkan pengguna kenderaan terpaksa membayar RM16.50 berbanding harga asal RM2.90 bagi laluan sehala.

Manakala bas dikenakan tol sebanyak RM13.30 berbanding RM2.30 sebelum ini, dan kadar baru tol bagi teksi pula daripada RM1.40 kepada RM8.20.

Bagi kenderaan Kelas Dua, kadar tol naik daripada RM4.50 kepada RM24.90 manakala Kelas Tiga RM3.30 bagi laluan dua hala berbanding hanya RM6.10 sebelum ini.

Kenaikan itu dilaksanakan selepas Putrajaya merancang mengikut jejak langkah Singapura mengenakan Permit Kenderaan Masuk (VEP) terhadap kenderaan asing yang ingin masuk ke Johor.

Semalam, Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin dalam akaun Twitter berkata "Johor akan mengadakan dialog dengan syarikat bas bagi menyediakan perkhidmatan ekspres kepada pekerja tempatan yang bekerja di Singapura". – 1 Ogos, 2014.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud