ARTIKEL SEBELUM

7/09/16

Ulama Arab Saudi sifatkan Iran sebagai 'bukan Islam'




Ulama tertinggi Arab Saudi menyifatkan Iran sebagai 'bukan Islam', sehari selepas pemimpin tertinggi Iran mengecam pengurusan haji, demikian menurut laporan oleh BBC.

Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz Abdullah al-Sheikh juga berkata, tuduhan Ayatollah Ali Khamenei itu sebagai 'tidak menghairankan'.

"Mereka inilah anak-anak Magi," katanya sambil merujuk kepada Zoroastrianisme, agama yang pernah mendominasi Iran suatu masa dahulu.

Zoroastrianisme merujuk kepada amalan para penganutnya yang melakukan sembahan terhadap api.

Perasaan syak wasangka yang mendalam wujud antara orang Islam berfahaman Sunni di Arab Saudi dan jiran mereka dari fahaman Syiah.

Pada hari Isnin yang lalu, Ayatollah Khamenei menuduh Arab Saudi 'membunuh' jemaah haji yang terperangkap dalam rempuhan tahun lepas.

"Arab Saudi yang kejam dan bersifat pembunuh mengurung mereka yang cedera bersama orang mati di dalam satu tempat - bukannya memberi rawatan perubatan dan membantu atau sekurang-kurangnya menghilangkan dahaga," katanya tanpa menunjukkan sebarang bukti.

Hubungan diplomatik antara Riyadh dan Teheran menjadi renggang awal tahun ini susulan tindakan Arab Saudi menghukum mati ulama Syiah terkenal di negara itu, Nimr al-Nimr.

Selain itu, kedua-dua negara menjadi proksi antara pejuang Sunni dan Syiah yang berperang di Yaman dan Syria.

Mengikut rekod, Iran juga pernah memboikot urusan penghantaran jemaah haji dari tahun 1988 hingga 1990 susulan rusuhan ganas puluhan ribu jemaah negara itu di Mekah.

Ketika itu, jemaah haji dari Iran telah bertempur dengan pasukan keselamatan Arab Saudi sehingga menyebabkan lebih 400 rakyat negara itu terbunuh pada 1987.

Situasi tersebut menyaksikan kekosongan jemaah Iran diisi oleh rakyat negara lain termasuk Malaysia yang mempunyai hubungan akrab dengan pemerintah Arab Saudi.

Bagaimanapun, Malaysia hanya mampu menghantar sekitar 30,000 jemaah pada setiap musim haji.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud