ARTIKEL SEBELUM

3/08/16

Desak Khairul Azwan segera mohon maaf



SHAH ALAM – Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun didesak membuat permohonan maaf terhadap tiga individu yang dinamakan dalam laporan polisnya, sebelum ini.

Ketua Wira Perkasa Malaysia, Irwan Fahmi Ideris turut membuat desakan agar polis menyiasat motif sebenar laporan itu dibuat Khairul Azwan.

“Mudah benar kita membuat andaian dan akhirnya ia telah memberi persepsi buruk terhadap kredibiliti ketiga-tiga individu yang terlibat sedangkan jasa mereka pada negara amatlah besar.

“Kami juga mendesak Khairul Azwan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada ketiga-tiga individu ini kerana reputasi mereka sebagai pegawai tinggi kerajaan terjejas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hari ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan pihaknya telah menghentikan siasatan berhubung laporan polis dibuat Khairul Azwan yang mendakwa ada konspirasi menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Malaysia.

Pada 26 Julai lepas, Khairul Azwan membuat laporan polis terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang didakwa terlibat konspirasi tersebut.

Dalam pada itu, Perkasa turut melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Khalid dan mempertikaikan keputusan menutup siasatan kes tersebut.

“Mengapa begitu mudah kes ini ditutup? Menurut dakwaan Khairul Azwan pada kenyataan lepas, dia mendakwa terdapat satu penyaluran maklumat ke agensi luar termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI). Tambahan lagi ada beberapa dokumen dipalsukan demi kepentingan individu yang terlibat. Setiap laporan polis dibuat perlu disertakan dengan alasan yang kukuh serta bukti.

“Tindakan Khairul Azwan ini telah mengaibkan nama baik ketiga-tiga individu yang terbabit. Mereka adalah bekas kakitangan tinggi kerajaan yang telah banyak memberi sumbangan kepada negara. Di mana relevannya tindakan dia?,” katanya.

Perkasa menyifatkan tindakan Khairul Azwan itu menimbulkan tanda tanya dan memalukan semua pihak.

“Dakwaan yang dibuat amat serius kerana ia melibatkan keselamatan dan imej pegawai tinggi kerajaan.

“Pada mulanya dia mendakwa bahawa laporan polis ini dibuat atas pendirian Pemuda Umno, namun selepas beberapa hari laporan dibuat Ketua Pemuda Umno sendiri tidak menyokong tindakan Khairul Azwan Harun ini,” katanya.- SH

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud