PUTRAJAYA - Wisma Putra hari ini memanggil wakil Filipina berhubung tuntutan terhadap Sabah yang dibuat oleh calon Presiden Filipina, baru-baru ini.
Kementerian Menteri Luar dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan Konsul Besar Filipina di Malaysia Maria Antonina M.Mendoza-Oblena dipanggil berhubung kenyataan itu.
Calon presiden berkenaan dilaporkan media tempatan, berikrar untuk meneruskan tuntutan sempadan negara berkenaan ke atas Sabah, sekiranya beliau dipilih sebagai presiden semasa pemilihan, pada 9 Mei depan.
"Kerajaan Malaysia ingin menegaskan pendirianya bahawa Malaysia tidak mengiktiraf dan tidak akan melayan sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak ke atas Sabah," menurut kenyataan itu.
Sabah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak 16 Sept 1963. - Bernama