Kesilapan terbesar yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ialah memilih Datuk Seri Najib Razak dan bukannya Tan Sri Muhyddin Yassin sebagai pengganti Tun Abdullah Ahmad Badawi, kata bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin.
Zainudin berkata antara kelemahan bekas perdana menteri itu ialah beliau teramat mudah mempercayai individu yang 'dilihat bijak, kacak dan berkarisma'.
“Dr Mahathir mudah percaya kepada orang yang berkarisma, dia senang terpengaruh…
“Dia (Dr Mahathir) lihat (pada) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Najib yang nampak sangat bijak dan dia (Najib) kelihatan kacak tapi dia tidak pilih Muhyiddin, sebaliknya dia pilih Najib.
“Itu kelemahan Dr Mahathir, dia mudah terpengaruh,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini, FMT dan Berita Daily.
Sebelum ini Dr Mahathir mendesak pengunduran Tun Abdullah sebagai perdana menteri dan digantikan dengan Najib.
Manakala Muhyiddin pada ketika itu dilantik sebagai timbalan perdana menteri.
Bagaimanapun, tahun lalu Muhyiddin digugurkan dari kabinet dan digantikan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Malah Jumaat lalu, Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan untuk menggantung jawatan Muhyiddin sebagai timbalan presiden parti Melayu itu kerana dilihat gagal melaksanakan tanggungjawabnya.
Muhyiddin antara pemimpin yang lantang menegur Najib mengenai syarikat pelaburan negara 1MDB dan juga derma politik RM2.6 bilion.
Zainuddin berkata Dr Mahathir juga dilihat membuat salah percaturan apabila membawa Anwar masuk Umno.
Katanya, perkara itu telah diakui sendiri oleh bekas presiden Umno itu.
“Saya kata pada dia (Dr Mahathir) kesilapan terbesar you bawa Anwar dalam Umno, Saya dari awal lagi tak dapat menerimanya,” katanya.
Dr Mahathir melucutkan jawatan Anwar sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan pada tahun 1998.
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun selepas Mahkamah Rayuan mensabitkannya atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Rayuan Anwar terhadap sabitan itu ditolak Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari tahun lalu.