Pakatan NGO Pro Barisan Nasional (NGO Pro BN) membuat laporan polis terhadap penganjur 'deklarasi Mahathir' kerana didakwa memfitnah dan berniat jahat terhadap institusi awam.
Laporan itu dibuat oleh Presiden NGO Pro BN, Zulkarnain Mahdar di ibu pejabat polis daerah Kota Kinabalu semalam, demikian menurut kenyataan dikeluarkan NGO Pro BN di Kota Kinabalu.
Zulkarnain berkata polis perlu menyiasat isi kandungan deklarasi itu yang didakwa merupakan tuduhan jahat dan satu fitnah yang keterlaluan terhadap agensi kerajaan.
Jumaat lepas, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai kumpulan lebih 50 orang memeterai deklarasi itu menyokong penyingkiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri.
Termasuk dalam kumpulan itu bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan veteran DAP Lim Kit Siang.
- Bernama