ARTIKEL SEBELUM

30/11/15

Yus Raja Lawak meninggal dunia


Yus Jambu Raja Lawak atau Yusrry Edoo meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas pada jam 1.30 pagi tadi di Hospital Selayang.

Yus Jambu yang juga terkenal dengan jolokan Pak Yus berusia 39 tahun.

Difahamkan allahyarham rebah semasa membuat persembahan di Dataran Merdeka.

Beberapa rakan artis turut menyampaikan takziah menerusi media sosial tidak berapa lama selepas mengetahui berita terbabit.

Seorang daripadanya adalah pelawak dan pengacara Jihan Muse yang memaklumkan kepada peminatnya mengenai pemergian arwah menerusi akaun Facebook Nuur Jihan Muse.

“Saya dalam perjalanan ke Hospital Selayang.

“Sahabat kami Pak Yus Jambu baru menghembuskan nafas terakhir.

“Innalillahiwainnalillahirojiun..Kawan-kawan semua bacakan al-Fatihah untuk allahyarham.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat,” tulisnya.

Yus mulai menempa nama sebagai penghibur selepas menyertai - dan menjuarai - program Raja Lawak Astro musim pertama pada 2007.

Ramai tak percaya

Allahyarham semasa hayatnya pernah membintangi pelbagai teater, filem, telefilem, drama dan menyanyi.

Antaranya filem Hantu Bonceng (2011), Laga (2014) dan Hantu Bungkus Ikat Tepi (2015).

Bagi pementasan teater, beliau pernah terbabit menjayakan Lawak SuperHero (2013) dan Lawak Ke Der 3 (2013), manakala telefilem ialah Simpul Raya (2014) dan Member Superstar Nak Balik Beraya (2015).

Sementara itu, pelakon dan pengarah Afdlin Shauki turut berkongsi status sama, juga di dalam Facebook.

“Innalillahiwainnalillahirojiun. Al-Fatihah.

“Rehat sahabat..Rehat.

“Semoga Allah meletakkan roh mu bersama orang beriman,” katanya.

Di media sosial, ramai juga yang menyangka berita kematian Yus sebagai sebahagian daripada lawak atau gimik beliau.

Di atas pentas Yus yang berpasangan dengan seorang lagi peserta Raja Lawak, Tauke dan kedua-dua mereka membetuk kumpulan Jambu untuk menyertai Maharaja Lawak Astro.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud