Presiden Amerika Syarikat Barack Obama hari ini mengakui bahawa harga ubat dijangka naik sebaik sahaja Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) disahkan.
Bercakap pada sesi Townhall bersama alumni Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) Kampus Taylor's University Lakeside, di Subang Jaya, Obama bagaimanapun berkata sifat perjanjian perdagangan itu adalah bahawa semua pihak yang terlibat perlu bersedia untuk berkorban atau rundingan itu tidak akan berjaya.
"Ketika ini, banyak syarikat-syarikat ubatan di Amerika Syarikat marah pada saya kerana mereka kata mereka tidak lagi dilindungi.
"Perkara yang saya katanya ialah secara umumnya, dalam persekitaran baru global, perubahan berlaku setiap masa dan sudah menjadi prinsip dan nilai saya bahawa kami akan memastikan perubahan itu baik untuk rakyat biasa.
"(Selain itu), ia baik untuk peladang, penuntut yang masih muda, baik untuk wanita, baik untuk negara membangun, dan saya tidak percaya bahawa kita perlu berhenti untuk berubah.
"Saya tidak percaya bahawa kita boleh hentikan perubahan. Saya tidak fikir bahawa dengan meletakkan halangan ke atas perdagangan, kita boleh hentikan perubahan," katanya ketika menjawab soalan peserta dari Malaysia.
Peserta yang memperkenalkan dirinya sebagai Rizal itu menimbulkan kebimbangan bahawa TPPA adalah "perjanjian elitis" yang akan membebankan majoriti rakyat Malaysia dan mereka daripada kumpulan berpendapatan rendah.
Sementara itu, Bernama melaporkan Obama yang tiba di Malaysia untuk Sidang Kemuncak ASEAN kali ke-27 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan di Kuala Lumpur juga berkata, dalam setiap rundingan dagangan, ada perkara yang perlu dilepaskan oleh setiap negara bagi menjayakan perjanjian perdagangan.
"Sebagai contoh, kita perlu membuka beberapa pasaran kepada barangan yang sebelum ini tertakluk kepada tarif, dan ada pihak dalam negara kita tidak sukakannya (namun), secara keseluruhannya, ia baik dan ia mungkin sangat bermakna kepada Malaysia.
“Dan seterusnya, kita dapat menjual sesuatu kepada Malaysia, dan seseorang di Malaysia tidak sukakannya. Inilah bentuk rundingan dalam perjanjian perdagangan," katanya.
Selain itu, ekonomi pasaran sebagai contoh, beliau berkata sudah terbukti bahawa ekonomi pasaran adalah penjana terbaik kekayaan dunia, namun ia memerlukan campur tangan kerajaan bagi memastikan saingan yang sihat, dan perniagaan kecil tidak terpinggir akibat monopoli, manakala ada kumpulan pekerja yang mendapat perlindungan asas.
"Inilah bentuk keseimbangan yang terkandung dalam TPPA (yang) juga membuktikan dasar saya di AS dan di peringkat antarabangsa," kata Obama.
Menyentuh mengenai industri farmaseutikal, beliau berkata terdapat beberapa perlindungan yang diberikan ke atas ubat generik, terutama untuk rakyat berpendapatan rendah, termasuk pemansuhan tarif bagi sebahagiannya, seperti penisilin dan ubat asas yang sudah berada dalam pasaran untuk tempoh masa yang panjang.
"(Dan) kami percaya sepenuhnya bahawa kos ubat-ubatan sudah menurun di kebanyakan negara yang kini mengenakan banyak halangan ke atas ubat-ubatan terbabit.