Insiden memaparkan pelajar berpakaian sekolah berpelukan dan berciuman tidak harus berlaku dan tidak harus diperbesar, kata ibu kepada seorang pelajar itu.
Wanita yang enggan namanya disebut itu berkata, disebabkan video rakaman itu dikongsi meluas, pelbagai tanggapan negatif turut tersebar.
“Ia tiada apa pun.
“Mereka masih budak mentah yang bercinta, kejadian itu wujud apabila ada orang bersorak di sekeliling yang memberi provokasi,” katanya sewaktu dihubungi Malaysiakini.
Dalam siaran video 15 saat itu, kelihatan seorang pelajar perempuan berlari ke arah si lelaki sebelum berpeluk sambil dikelilingi pelajar lain.
Lelaki itu pula kelihatan menunggu sambil melutut dan memegang sesuatu, dipercayai hadiah.
Sebaik berdakap satu sama lain, suasana riuh dan pelajar lelaki tadi kelihatan memberi ciuman pada pipi wanita itu.
Ibu itu menjelaskan anak lelakinya melamar gadis itu untuk sebuah acara tari-menari sempena meraikan pelajar yang menamatkan persekolahan.
Kementerian cari sekolah mana
Bagaimanapun, katanya lagi, ada pihak mengambil kesempatan menggunakan rakaman itu untuk mengeruhkan keadaan.
Beliau menegaskan kedua-dua pelajar itu sememangnya anak yang mendengar kata, malahan segala tindak-tanduk mereka diketahui ibu bapa.
Pelajar terbabit juga, menurutnya lagi, tidak pernah keluar berdua-duaan.
“Saya mengenali mereka berdua dan percintaan mereka diketahui oleh kedua belah keluarga.
“Itu hanya cara mereka meluahkan perasaan tidak lebih dari itu.
“Ini hanya permulaan mereka bercinta, tapi sudah pasti ia di bawah pemerhatian ibu bapa dan kejadian seperti itu tidak akan berlaku lagi,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pendidikan dilapor akan menyiasat video yang menjadi viral di laman sosial itu.
Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan berkata kementerian itu masih dalam proses mengenal pasti sekolah yang terlibat, lapor mStar.