Peristiwa Memali yang berlaku tiga puluh tahun lalu antara sebab mengapa PAS memutuskan tidak akan mengadakan kerjasama politik dengan BN, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau turut memetik penegasan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa PAS akan terus menjadi pembangkang dan tidak akan menyertai BN ekoran peristiwa itu.
"Peristiwa Memali ini tetap dikenang sebagai lambang kezaliman kerajaan Umno-BN ke atas pimpinan dan ahli-ahli PAS," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan.
"Sejarah sedih ini tetap tidak akan dilupakan walaupun kerajaan pernah mengeluarkan arahan melarang majlis memperingati peristiwa sedih ini," katanya lagi.
Peristwa Memali berlaku pada 19 November 1985 sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri manakala Tun Musa Hitam pula selaku timbalannya dan menteri dalam negeri.
Tuan Ibrahim berkata hari ini adalah sambutan ke-30 tahun peristiwa di Kampung Memali, Baling telah mengorbankan 14 orang termasuk guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya kerana dianggap "bughah" atau penderhaka.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku atas alasan rekaan kononnya untuk menghapuskan penjenayah di bawah Operasi Angkara/Hapus yang dikatakan melibatkan 3,600 polis dari pelbagai unit dan dua kereta perisai.
"Meskipun 30 tahun sudah berlalu, kezaliman Peristiwa Memali ini akan tetap dituntut di akhirat. Pemimpin yang terlibat dan pasukan tentera yang menjadi alat kepada tindakan zalim ini mesti diadili.
"Sehingga kini, peristiwa ini tidak pernah dibicarakan di mahkamah. Mangsa dan waris terus menderita kehilangan keluarga dan harta benda," katanya.
Tuan Ibrahim turut berharap mereka yang terlibat dalam peristiwa tersebut diadili dan bertaubat selagi ada kesempatan termasuk memohon maaf kepada waris serta membayar ganti rugi.
"Yakinlah kezaliman adalah kegelapan di akhirat. Kita terus berdoa agar mereka diadili. Hak mereka mesti dikembalikan. Pemimpin yang terlibat mesti dihadapkan di mahkamah dunia sebelum mereka dihadap di mahkamah Allah di akhirat," katanya.